Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad ketika sesi bergambar pada Majlis Riang Ria Aidilfitri GLC Negeri Perak Tahun 2025 di perkarangan Stadium Indera Mulia, Ipoh, pada Ahad. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 27 APRIL 2025.

IPOH – Satu undi pun sudah dikira menang, kata Pengerusi Barisan Nasional (BN) Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.

Menurutnya, Perikatan Nasional (PN) perlu berhenti mempersoalkan keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning.

“Mungkin semua analisis dan komen yang dibuat oleh PN itu sudah disediakan lebih awal.

“Barangkali pada hari Isnin, bila sedar tidak mendapat sokongan, mereka sudah mula cipta alasan-alasan. Jadi alasan itu dikeluarkan sebaik sahaja kalah,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas menghadiri Majlis Riang Ria Aidilfitri Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) Bersama Menteri Besar Perak di perkarangan Stadium Indera Mulia di sini pada Ahad.

Mengulas sindiran lawan yang mendakwa BN gagal meraih sehingga 18,000 undi meskipun bergabung dengan Pakatan Harapan (PH), Saarani membalas dengan menyifatkannya sebagai ‘alasan orang kalah’.

“Ini alasan orang kalah. Macam bola sepak juga, bila kalah, pengadil disalahkan, tiang gol tidak betul, padang tak rata. Terimalah hakikat BN menang,” katanya.

Saarani turut meminta semua pihak menghormati keputusan pengundi yang jelas memilih BN sebagai parti pilihan di DUN Ayer Kuning, meskipun pelbagai isu dan sentimen cuba dimainkan sepanjang tempoh kempen.

Keputusan PRK DUN Ayer Kuning menyaksikan Dr Mohamad Yusri Bakir dari BN menang dengan majoriti 5,006 undi menewaskan calon PN, Abdul Muhaimin Malek dan Bawani KS dari Parti Sosialis Malaysia (PSM). – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here