KUALA LUMPUR – Tabung Haji (TH) dengan Kerjasama Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) melakukan simulasi latihan pengungsian bangunan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) hari ini.
Ia dilakukan bagi memastikan bakal jemaah haji bersedia dengan sebarang kemungkinan berlaku insiden kecemasan di luar jangka.
Menurut Timbalan Pengarah Gerakan, Operasi Haji Tanah Air TH, Mohamed Ameen Abdul Wahab, latihan simulasi yang dilaksanakan setiap tahun menjelang musim haji itu memastikan semua Prosedur Operasi Standard (SOP) serta protokol pelan pengungsian lancar sekiranya berlaku sebarang kecemasan ketika bakal jemaah haji berkumpul di KLIA sebelum berlepas ke Tanah Suci.
“Keselamatan setiap bakal haji sentiasa menjadi keutamaan TH. Latihan yang diadakan ini adalah salah satu daripada modul kursus persediaan kepada para petugas haji di tanah air yang akan menyantuni para dhuyufurrahman terutamanya menjelang pelepasan kumpulan pertama bakal haji pada 29 April. Ia membawa seramai 284 jemaah ke Arab Saudi,” katanya menerusi kenyataan.
Katanya, latihan simulasi dilakukan berdasarkan Pelan Tindakan Kecemasan OHTA serta Pelan Kecemasan Aerodome (AEP) iaitu dokumentasi pelan yang dirangka sebagai langkah pengurusan kecemasan dan bencana.
Pihaknya amat menghargai kerjasama rapat dan komitmen pihak Malaysia Airports dan agensi-agensi antaranya Airport Fire Rescue Service (AFRS), Polis Di Raja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Civil Aviation Authority Malaysia (CAAM) dan semua pihak yang terlibat menjayakan latihan simulasi ini dan membantu dalam memastikan keselamatan bakal haji sentiasa dalam kawalan terbaik.
Terdahulu, seramai 200 peserta menyertai latihan pengungsian tersebut yang melibatkan para petugas TH dan MAHB, unit operasi KLIA, agensi pihak berkuasa serta
pasukan perubatan dan keselamatan KLIA.
Latihan simulasi yang sama turut diadakan di semua stesen pelepasan jemaah haji negeri secara berjadual di mana latihan ini telah dilaksanakan di empat buah stesen pelepasan pada tahun lepas.
Manakala bagi musim haji kali ini, sebanyak tiga stesen pelepasan negeri telah terpilih untuk sesi latihan simulasi pengungsian iaitu Lapangan Terbang Antarabangsa Sultan Mahmud, Kuala Terengganu; Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Kota Bharu dan Lapangan Terbang Antarabangsa Senai.- MalaysiaGazette