Penyanyi nasyid dan Komposer, Yasin Sulaiman dibawa oleh anggota polis untuk mendengar keputusan akhir pendakwaan atas kesalahan menanam 17 pokok ganja di kediamannya di Kota Damansara ketika di Mahkamah Sesyen 1 Petaling Jaya, Selangor. Foto WAN NABIL NASIR, 3 OKTOBER 2023. (GAMBAR FAIL)

PUTRAJAYA – Selain kebenaran merayu berkaitan titah adendum tahanan rumah Datuk Seri Najib Razak di Mahkamah Persekutuan esok, satu lagi rayuan berprofil tinggi dijadual didengar di Mahkamah Rayuan iaitu melibatkan kes penyanyi Muhammad Yasin Sulaiman.

Di Istana Kehakiman, Muhamad Yasin merayu terhadap sabitan dan hukuman penjara seumur hidup yang sedang dijalaninya selepas disabitkan atas tiga kesalahan berkaitan dadah. Dia turut dikenakan 16 sebatan.

Prosiding esok merupakan usaha terakhir komposer dan penyanyi itu di peringkat rayuan untuk mengetepikan hukuman penjara dan sebatan tersebut. Ini kerana kes berkenaan bermula di Mahkamah Sesyen yang mana ia berakhir di Mahkamah Rayuan.

Dia mengemukakan rayuan kerana tidak berpuas hati dengan keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 22 Ogos tahun lalu yang menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup dan 16 sebatan atas tiga kes dadah yang dihadapinya.

Penyanyi lagu ‘Mimpi Laila’ dihukum penjara lapan tahun dan 10 sebatan untuk kesalahan memiliki dadah jenis kanabis seberat 193.7 gram.

Bagi kesalahan menanam 17 pokok kanabis dalam pasu plastik, Muhammad Yasin dihukum penjara seumur hidup dan enam sebatan manakala untuk kes memberi dirinya dadah berbahaya, dia dihukum penjara 10 bulan.

Pada 29 November 2023, Mahkamah Sesyen Petaling Jaya melepas dan membebaskan Muhammad Yasin, 49, daripada ketiga-tiga pertuduhan.

Mahkamah sebaliknya memerintahkan penyanyi itu ditempatkan di bawah jagaan Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak mengikut Seksyen 348(1) Kanun Prosedur Jenayah (KTJ) selama tempoh mengikut perkenan Sultan Selangor.

Pihak pendakwaan kemudiannya mengemukakan rayuan terhadap pembebasan itu dan Mahkamah Tinggi membatalkan keputusan tersebut serta mendapati Muhammad Yasin bersalah atas semua pertuduhan berkenaan.

Bagi pertuduhan pertama, Muhammad Yasin didapati bersalah kerana memiliki 193.7 gram kanabis di sebuah kondominium di Kota Damansara pada 24 Mac 2022 manakala pertuduhan kedua membabitkan penanaman pokok kanabis di tempat dan masa yang sama.

Pertuduhan ketiga ialah memberikan dirinya dadah jenis 11-nor-delta-9 tetrahydrocannabinol-9-carboxylic acid” di Pejabat Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya pada tarikh sama.

Sementara itu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur turut menetapkan esok bagi mendengar permohonan semakan kehakiman Datuk Seri Najib Razak untuk mencabar titah adendum.

Tarikh itu diperoleh hasil semakan dalam laman web mahkamah. Prosiding dijadual didengar di hadapan Hakim Datuk Hayatul Akmal Abdul Aziz.

– MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here