Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir

MANJUNG -Menteri Pendidikan Datuk Seri Zambry Abd Kadir berkata universiti di negara ini diberi kebebasan untuk menentukan kursus masing-masing.

Beliau berkata dalam hal ini, pihak universiti diberikan autonomi dan Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) hanya memastikan sebarang kursus yang ditawarkan menepati piawaian.

“Saya tidak diberitahu semua universiti awam atau swasta perlu ikut acuan Kementerian Pendidikan Tinggi atau apa yang ditetapkan oleh MQA kerana bukan tugas mereka untuk kata boleh atau tidak.

“MQA hanya bertanggungjawab memastikan sebarang kursus yang bakal ditawarkan di universiti akan menepati kualiti dan piawaian yang telah ditetapkan namun bukan sebagai penentu mutlak,” katanya.

Zambry berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Penutup Program Universiti Teknologi Malaysia TechnoXplorer 2025 di Sekolah Menengah Kebangsaan Ahmad Boestamam dekat sini hari ini.

Terdahulu, bekas Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Saifuddin Abdullah menggesa agar universiti awam diberikan lebih banyak autonomi dan halangan birokrasi dikurangkan bagi membolehkan institusi pengajian tinggi negara berkembang maju.

Beliau berkata walaupun MQA memainkan peranan penting dalam mengekalkan standard akademik dan akreditasi kursus, proses agensi itu yang perlahan selain risiko kerenah birokrasi telah menyebabkan sektor akademik negara ketinggalan di peringkat global.

Sementara itu, Zambry berkata tidak timbul isu universiti tidak diberi kuasa autonomi seperti didakwa kerana pihak institusi pengajian tinggi sendiri yang menentukan kursus sebelum dibawa kepada MQA.

“Setiap kursus mesti dibincangkan di peringkat MQA untuk mendapatkan kelulusan kerana kawalan kualiti penting namun MQA akan bertindak sebagai panduan sahaja kepada pihak universiti supaya kursus baharu yang bakal ditawarkan tidak sekadar tangkap muat atau rendah nilainya,” katanya.

Beliau juga berkata kawal selia daripada segi pelaksanaan dan kurikulum adalah perkara biasa untuk memastikan universiti awam menjadi entiti yang penting bagi mendidik rakyat Malaysia di peringkat tertinggi. – BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here