Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming menyampaikan ucapan ketika hadir pada Majlis Pecah Tanah Projek Pembangunan Rumah Belia MADANI & Rumah Mampu Milik di Padang Bola Sepak PPR Batu Muda, Kuala Lumpur. Foto HARI ANGGARA, 29 APRIL 2025

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Anwar Ibrahim bakal menjadi Pertama Menteri pertama yang mencapai sasaran untuk menyediakan perumahan mampu milik untuk rakyat.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, ketika ini kira-kira 468,000 unit kediaman atau 95 peratus sudah dibina di seluruh negara.

Katanya, sasaran kerajaan untuk menyediakan 500,000 unit kediaman mampu milik kepada rakyat dijangka dapat dicapai hujung tahun ini.

“Bulan Jun ini kita akan lancarkan rumah mampu milik terbesar di Pulau Pinang iaitu (membabitkan) 38,000 unit lagi.

“Hujung tahun juga, (projek) Bandar Madani pula yang akan menawarkan 13,000 unit lagi, jadi 500,000 unit ini akan dicapai tahun ini.

“Ini menunjukkan bahawa Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri pertama yang berjaya menepati sasarannya (membina 500,000 rumah mampu milik),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pecah Tanah Projek Pembangunan Rumah Belia MADANI dan Rumah Mampu Milik di Mukim Batu, di sini hari ini.

Majlis yang disempurnakan oleh Anwar itu turut dihadiri Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa; Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Datuk Mohd Nizam Jaffar serta Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Dr Maimunah Mohd Shariff.

Sementara itu, ketika ditemui media selepas majlis berkenaan, Kor Ming berkata, kerjasama semua pihak khususnya kerajaan dan swasta amat penting dalam menjayakan misi dan hasrat kerajaan dalam membina kediaman rumah mampu milik secukupnya kepada rakyat.

“Kita lihat seperti hari ini, atas kerjasama pihak swasta dan kerajaan, kerajaan mendapat (nilai kediaman sebanyak) RM115 juta Rumah Belia MADANI secara percuma untuk kita agihkan kepada belia dan mahasiswa yang baru tamat pengajian sebagai rumah transit dalam kawasan Kuala Lumpur,” tambahnya. – MalaysiaGazette

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here