Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim (tengah) melihat replika projek perumahan selepas melakukan gimik pelancaran ketika hadir pada Majlis Pecah Tanah Projek Pembangunan Rumah Belia MADANI & Rumah Mampu Milik di Padang Bola Sepak PPR Batu Muda, Kuala Lumpur. Foto HARI ANGGARA, 29 APRIL 2025

KUALA LUMPUR – Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim menafikan dakwaan wujudnya ketidakadilan pada Pemilihan Parti Keadilan 2025 yang berlangsung baru-baru ini.

Ini kerana, katanya, terdapat aduan dan bantahan dikemukakan terhadap urusan itu di peringkat cabang sebelum ini.

Menurut beliau, semua aduan dan bantahan yang dikemukakan kepada Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) kini sedang diteliti juruaudit antarabangsa.

“Apa kalau ada aduan itu (bermakna pemilihan parti dianggap) tak adil…. (pandangan sebegini) sangat prejudis hanya kerana ada pihak yang membuat aduan.

“Aduan (yang diterima) kita ambil perhatian dan sekarang juruaudit antarabangsa sedang semak setiap kes (membabitkan) aduan ini,” katanya.

Beliau yang juga Perdana Menteri berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Pecah Tanah Projek Pembangunan Rumah Belia Madani dan Rumah Mampu Milik di Mukim Batu hari ini.

Hadir sama Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa; Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Datuk Mohd Nizam Jaffar serta Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Dr Maimunah Mohd Shariff.

Semalam, Dr Zaliha yang juga Pengerusi JPP PKR berkata, anggota PKR dinasihatkan supaya membuat aduan berkaitan salah laku semasa pemilihan melalui saluran rasmi bagi membolehkan tindakan sewajarnya diambil.

Beliau berkata, demikian bagi mengulas mengenai calon yang menggunakan media sosial untuk meluahkan ketidakpuasaan hati mereka terhadap keputusan pemilihan.

Sabtu lalu, Naib Presiden PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad mengesahkan bahawa beliau telah menghantar surat rayuan kepada JPP. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here