KUALA LUMPUR – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan ucapan tahniah di atas kemenangan Mark Carney dalam pilihan raya persekutuan sekali gus dilantik sebagai Perdana Menteri baharu Kanada.
Menurut Anwar, beliau tidak sabar untuk bekerjasama dengan Carney bagi mengukuhkan kerjasama bilateral termasuk menerusi Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP).
“Dunia mesti terus memperkukuh perdagangan antarabangsa sebagai pemacu kemakmuran dan kestabilan bersama.
“Kami yakin di bawah kepimpinan beliau, Kanada akan terus menjadi suara yang kukuh dan konsisten dalam perhubungan antarabangsa yang konstruktif,” katanya menerusi hantaran di Facebook, malam ini.
Menurut Anwar, pilihan raya tersebut membuka lembaran baharu kepada Kanada dan seterusnya mengukuhkan komitmen negara tersebut terhadap kemerdekaan, kemampanan dan kepimpinan berprinsip pada masa yang tidak menentu.
Carney, bekas Gabenor Bank of Canada dan Bank of England itu dipilih untuk memimpin Kanada bagi tempoh empat tahun selepas parti Liberal kembali memerintah negara tersebut. -MalaysiaGazette