MELAKA – “Saya sudah jemu dengan sandiwara ini…sudah masak sangat dengan agenda-agenda yang dimainkan pemain-pemain politik yang kecewa ini.”
Itu ketegasan dilontarkan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh selepas mengunci mulut sebelum ini susulan penyebaran beberapa audio di media sosial mirip suaranya sejak beberapa hari lalu.
Malah beliau yakin akan ada lebih banyak lagi siri fitnah sudah diatur golongan terbabit untuk menjatuhkan imejnya seperti pernah dilakukan termasuk pada Piihan Raya Negeri (PRN) yang lalu.
“Saya yakin ada 30 siri lagi dia cuba nak jatuhkan imej Ketua Menteri… bukan sikit tetapi saya nak bagitahu bahawa dalam Melaka kita dah masak sangatlah dengan agenda-agenda yang dimainkan pemain-pemain politik yang kecewa ini.
“Mereka menggunakan manipulasi sebagai satu perkara yang spekulatif untuk meraih simpati daripada masalah asas yang dah sedia ada.
“Kita tunggu dan masih lagi menunggu dan pengakhirannya nanti kita lihat siapakah sebenarnya dalang dan watak-watak di sebalik sandiwara-sandiwara ini,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Persidangan Dewan Undangan Negeri Melaka di Seri Negeri di sini hari ini.
Terdahulu, tular audio berdurasi tiga minit 57 saat di media sosial sehari selepas Ab Rauf membuat penafian beliau berkaitan penahanan Timbalan Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad yang direman Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Dalam video itu, tertera kenyataan media individu dengan latar belakang tiga klip audio perbualan telefon antara dua individu yang salah satunya didakwa mirip suara Ab Rauf yang mana di penghujung klip video disebut individu bernama ‘Ali.’
Mengulas lanjut, Ab Rauf berkata, fitnah sama pernah dituju terhadap Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin sebelum ini.
“Modus operandi sama juga berlaku bila saya dituduh memperkosa seorang wanita di sebuah hotel dulu yang saya tahu sumber yang sama padahal itu fitnah-fitnah digunakan untuk jatuhkan karektor seseorang supaya tak layak menjadi pemimpin negeri.
“Saya juga dah kena, rumah saya pun diserbu SPRM, saya tak tuduh pun orang tu buat tapi saya tahu sumber daripada mana supaya saya hilang kelayakan bertanding sebagai calon PRN yang lalu.
“Saya tak kecoh pun seperti mana yang berlaku sekarang ini walaupun kita tahu daripada sumber mana yang boleh menyebabkan perkara-perkara ini berlaku,” tegasnya lagi. – MalaysiaGazette