Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berucap pada Persidangan Anti Rasuah Asia Tenggara di Pusat Konveksyen Antarabangsa Putrajaya. Foto SADIQ SANI, 29 APRIL 2025

PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sentiasa berpegang teguh kepada prinsip-prinsip yang digariskan dalam Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Menentang Rasuah (UNCAC) khususnya Artikel 36 yang menggesa penubuhan badan penguatkuasaan anti-rasuah yang bebas dan profesional.

Ketua Pesuruhjayanya, Tan Sri Azam Baki berkata, pelaksanaan prinsip itu turut berpaksikan kepada Pernyataan Jakarta yang menjadi rujukan utama dalam memastikan kebebasan, autonomi operasi serta ketelusan agensi anti-rasuah.

“SPRM telah menerima pakai prinsip ini bukan sekadar dari segi bentuk tetapi juga dalam pelaksanaan melalui lima jawatankuasa pemantau bebas.

“Ia bagi memastikan agensi kekal bertanggungjawab kepada rakyat namun bebas daripada sebarang campur tangan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan ketika merasmikan Southeast Asia Anti-Corruption Conference, di sini, hari ini.

Turut hadir Presiden Kesatuan Antirasuah Asia Tenggara (Sea Actions), Tan Sri Abu Kassim Mohamed dan Pengerusi Jawatankuasa Penganjur Persidangan yang juga Ahli Lembaga Pengarah Institut Integriti Malaysia (IIM), Datuk Seri Mustafar Ali.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki (duduk, tengah) Presiden SEA Actions, Tan Sri Abu Kassim Mohamed dan Ketua Pesuruhjaya Komisi Pemberantasan Korupsi Indonesia, Drs Setyo Budianto bergambar bersama wakil-wakil persidangan pada Persidangan Anti-Rasuah Asia Tenggara di PICC. Foto SADIQ SANI, 29 APRIL 2025

Mengulas lanjut, Azam turut mengakui cabaran dalam membanteras rasuah hari ini semakin kompleks, melibatkan jenayah siber dan kewangan rentas sempadan yang memerlukan kerjasama serantau serta inovasi teknologi.

Menurutnya, SPRM sentiasa komited memperkukuh usaha melalui reformasi perundangan, inisiatif pembangunan kapasiti, perluasan kerjasama antarabangsa serta penerapan teknologi.

Ia melibatkan kecerdasan buatan (AI) dan rantaian blok bagi membanteras jenayah kewangan yang semakin canggih.

“SPRM juga menjunjung gagasan Malaysia Madani dengan menekankan nilai integriti, akauntabiliti dan keadilan sosial dalam tadbir urus negara,” jelasnya.

Azam turut menyifatkan penganjuran persidangan itu menjadi penting kerana Malaysia bakal memegang jawatan Pengerusi ASEAN pada tahun hadapan dengan tema Inklusiviti dan Kelestarian.

Ini kerana kerajaan menerusi SPRM akan menjadi tuan rumah kepada Mesyuarat Ketua-Ketua ASEAN Parties Against Corruption (ASEAN-PAC) ke-21 pada Oktober depan sebagai sebahagian daripada komitmen serantau.

Pada masa sama, beliau mengingatkan bahawa perjuangan menegakkan integriti menuntut kewaspadaan yang berterusan, selaras dengan pesanan Bapa Kemerdekaan, Tunku Abdul Rahman bahawa ‘harga bagi integriti ialah kewaspadaan yang kekal’. – MalaysiaGazette

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berucap pada Persidangan Anti Rasuah Asia Tenggara di Pusat Konveksyen Antarabangsa Putrajaya. Foto SADIQ SANI, 29 APRIL 2025

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here