Tengku Muhammad Fakhruddin mahu saman peguam.

KUALA LUMPUR – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sura, Dr Tengku Muhammad Fakhruddin Tengku Muhammad Fauzi mahu menyaman seorang peguam berikutan dakwaan beliau menghasut rakyat untuk mengurangkan kepercayaan pada Yang di-Pertuan Agong.

Tengku Muhammad Fakhruddin berkata, dakwaan yang dilemparkan Zulqarnain Lukman disifatkan sebagai tuduhan yang sangat berat, tidak berasas dan berniat jahat.

“Tuduhan ini bukan sahaja mencemar reputasi saya sebagai wakil rakyat, malah cuba mencetuskan persepsi buruk yang berunsur fitnah terhadap saya secara peribadi dan politik.

“Saya sedang mengambil langkah undang-undang terhadap Zulqarnain Lukman atas kenyataan liar dan bersangka buruk ini.

“Jangan menggunakan title, kononnya ‘pakar perlembagaan’ tersebut untuk membuat sebarang tuduhan dan membawa persepsi jahat kepada seseorang,” katanya dalam kenyataan.

Wakil rakyat itu menegaskan kenyataan asalnya tidak langsung menyentuh apatah lagi menghina mana-mana raja atau Institusi Diraja.

Tengku Muhammad Fakhruddin berkata, semua pihak wajib memelihara Institusi Raja-Raja Melayu.

“Tetapi memfitnah sesama rakyat atas nama kononnya mempertahan institusi Raja adalah perbuatan yang sangat tidak bertanggungjawab.

“Saya akan terus bercakap tentang kebenaran dan keadilan untuk rakyat, dan saya tidak akan tunduk kepada taktik ugutan fitnah seperti ini. Kebenaran itu tidak boleh ditenggelamkan oleh fitnah,” katanya.

Zulqarnain dilaporkan mendakwa, tulisan ADUN Sura berkenaan keberadaan orang Melayu boleh dianggap sebagai cuba memperkecilkan kuasa serta kedaulatan Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja.

Beliau mendakwa, kenyataan yang dibuat Tengku Muhammad Fakhruddin memberi gambaran bahawa kedudukan raja-raja Melayu boleh diperkotak-katikkan oleh kuasa politik.

Merujuk tulisan ADUN terbabit di media sosial, Zulqarnain berkata, hantaran tersebut cenderung kepada perbuatan menghasut rakyat untuk mengurangkan kepercayaan kepada Agong dan Majlis Raja-Raja Melayu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here