MELAKA – Dua sahabat dijatuhi hukuman 15 bulan penjara dan denda RM7,000 oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh di sini hari ini selepas mengaku bersalah atas tiga pertuduhan mencuri duit kutipan tabung masjid dan surau sejak 5 April lalu.
Majistret Sharda Shienha Mohd Suleiman menjatuhkan hukuman itu setelah tertuduh, Muhammad Hafiez Kamarudin, 30, dan Muhammad Hakimi Aiman Asbullah, 19, yang membuat pengakuan itu sebaik sahaja pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.
Mengikut pertuduhan, tertuduh secara bersama-sama didapati dengan niat curang telah mencuri duit tabung masjid dan memecah masuk masjid kesemuanya dalam daerah Melaka Tengah antara 5 April 2025 hingga 13 April lalu.
Kesalahan itu dilakukan di Masjid Ass-Sobirin, Kampung Gelam, Surau Ar-Nur, Taman Sri Krubong dan Masjid Al Hilal, Pantai Rombang, Tanjung Keling mengakibatkan kerugian keseluruhan duit tabung berjumlah RM2,060.
Sabit kesalahan mencuri, tertuduh boleh dipenjara sehingga 10 tahun dan juga dikenakan denda mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan (KK) dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama.
Bagi kesalahan pecah bangunan, tertuduh boleh dipenjara sehingga lima tahun dan denda mengikut Seksyen 457 KK dibaca bersama Seksyen 34 KK.
Jika kesalahan yang dimaksud hendak dilakukan iaitu kesalahan mencuri maka tempoh penjara boleh dilanjutkan sehingga 14 tahun dan kesalahan kali kedua boleh dikenakan denda atau sebat.
Terdahulu, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Wan Abdullah Mohd Rodzlad mencadangkan hukuman setimpal.
Kedua-dua tertuduh yang tidak diwakili peguam dalam rayuan masing-masing memohon denda yang rendah dan hukuman berjalan serentak kerana perlu menjaga ibu bapa yang sakit serta ahli keluarga yang tidak bekerja.
Selepas mendengar hujah kedua-dua pihak, Majistret Sharda Shienha memerintahkan setiap tertuduh menjalani hukuman penjara keseluruhan berjumlah 15 bulan bagi kesemua pertuduhan bermula dari tarikh ditangkap.
Mahkamah turut mengarahkan tertuduh dikenakan denda RM7,000 atau tujuh bulan penjara jika gagal bayar. – MalaysiaGazette