KUALA LUMPUR – Hampir 29,000 syarikat di seluruh negara telah melaksanakan penggunaan e-Invoice, melibatkan lebih 262 juta transaksi setakat ini.

Ia secara tidak langsung menunjukkan kemajuan besar dalam usaha transformasi digital sistem percukaian negara.

Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 5,400 pembayar cukai terlibat dalam Fasa Pertama, 12,600 dalam Fasa Kedua.

“Manakala lebih 11,000 lagi merupakan pembayar cukai Fasa Ketiga yang mengambil langkah proaktif melaksanakan e-Invoice lebih awal daripada tempoh mandatori,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian Program Jelajah Mega e-Invoice 2025 di sini, hari ini.

Menurutnya, kejayaan ini membuktikan bahawa usaha kolektif antara kerajaan, komuniti perniagaan dan rakyat mampu memacu transformasi digital negara dengan berkesan.

“Perjalanan transformasi digital ini tentunya tidak akan berjaya tanpa hala tuju yang jelas dan pasukan kerja yang berdedikasi.

“Kejayaan ini adalah hasil usaha kolektif yang wajar dibanggakan bersama,” tambahnya.

Hui Ying menegaskan bahawa pelaksanaan e-Invoice adalah sebahagian daripada komitmen negara di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 untuk mempercepatkan pendigitalan ekosistem perniagaan dan sistem percukaian nasional.

Fasa Ketiga pelaksanaan e-Invoice dijadual bermula 1 Julai 2025, melibatkan hampir 280,000 pembayar cukai dengan pendapatan atau jualan tahunan antara RM500,000 hingga RM25 juta.

Pelaksanaan ini akan diperluaskan lagi kepada pembayar cukai Fasa Keempat bermula 1 Januari 2026.

Sebagai sokongan kepada pembayar cukai, kerajaan menyediakan pelbagai platform percuma termasuk portal MyInvoice dan aplikasi MyInvoice.

Peniaga dengan pendapatan atau jualan tahunan di bawah RM250,000 pula ditawarkan sistem MyInvoice e-Post secara percuma, lengkap dengan fungsi untuk penyediaan e-Invoice disatukan bagi transaksi tertentu.

Dalam membantu perniagaan menyesuaikan diri, pelaksanaan e-Invoice dilakukan secara berfasa, dengan kelonggaran enam bulan dari tarikh mandatori bagi membolehkan penyesuaian kepada operasi harian.

Bagaimanapun, katanya, penalti akan dikenakan jika syarikat gagal mengeluarkan sekurang-kurangnya e-Invoice yang disatukan dalam tempoh kelonggaran tersebut.

Hui Ying, turut menyeru semua pembayar cukai untuk tidak mengambil pendekatan wait and see, sebaliknya memanfaatkan masa yang ada untuk membuat persediaan awal.

“Kerajaan mahu memastikan tiada siapa yang ketinggalan dalam arus pendigitalan ini.

“Dengan sokongan semua pihak, pelaksanaan e-Invoice mampu membawa manfaat besar kepada negara secara keseluruhannya,” jelasnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here