Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh bercakap pada sidang media berkenaan perbincangan meja bulat bersama belia pelbagai agama bagi menangani masalah sosial beli di Menara Kementeria Belia dan Sukan, Putrajaya. Foto AIZAT ZAINAL, 29 APRIL 2025.

PUTRAJAYA – Terdapat jurang yang nyata antara usia remaja terlibat dengan aktiviti seksual dengan pendidikan berkenaannya di sekolah.

Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh berkata, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) maklum mengenai perkara itu.

Justeru, beliau yakin kementerian yang terlibat akan melakukan penambahbaikan silibus berkaitan pendidikan seksual di sekolah sebagai langkah untuk menangani masalah kes jangkitan HIV dalam kalangan belia.

“Seperti yang kita tahu, ada jurang yang jelas daripada data, kebanyakan yang aktif seksual mula sebelum usia 14 tahun.

“Tapi pendidikan seks di sekolah bermula pada umur 15 tahun jadi jurang ini yang perlu ditangani.

“Kita perlu fikir di luar kotak dalam menangani masalah sosial belia kerana isu-isu berkaitannya semakin canggih, kalau kita ambil pendekatan yang lama, kita tidak akan capai apa yang kita mahukan,” katanya.

Hannah berkata demikian pada sidang media Sesi Perbincangan Meja Bulat Bersama Pemimpin Belia Pelbagai Agama Bagi Menangani Masalah Sosial Belia di Menara KBS, di sini, hari ini.

Tambahnya, kementerian itu berperanan melaksanakan lebih banyak program kesedaran dan memastikan informasi yang berkesan sampai kepada belia.

“Langkah KBS adalah memberi kesedaran banyak badan penguat kuasa sebab itu kita kena lakukan koordinasi dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan KPM supaya isu ini sampai kepada belia. Selain itu, Majlis Belia Malaysia juga akan membantu kita,” jelasnya.

Terdahulu, Setiausaha Kehormat Majlis Aids Malaysia (MAC) dan Yayasan Aids Malaysia (MAF), Dr Zaiton Yahaya dilapor berkata, penuntut universiti dan pelajar sekolah dalam kalangan usia 20 hingga 29 tahun antara 44 peratus golongan yang dikesan mendapat jangkitan HIV.

Berdasarkan statistik terbaru KKM, 135,035 pesakit HIV direkodkan bermula 1986 hingga 2023 dengan 54,365 orang akibat transmisi seksual.

Lapan jangkitan baharu HIV membabitkan kanak-kanak bawah usia 13 tahun.

Rekod terbaru menunjukkan 62 peratus jangkitan HIV adalah daripada golongan homoseksual dan biseksual, manakala 33 peratus jangkitan daripada pasangan berlainan jantina. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here