8 kru warga asing ditahan susulan kapal korek dikendali mereka bersauh tanpa kebenaran di Pulau Kendi, Pulau Pinang semalam.

GEORGE TOWN – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Pulau Pinang menahan sebuah kapal korek selepas didapati bersauh tanpa kebenaran di Pulau Kendi di sini semalam.

Pengarahnya, Kepten Maritim Razali Kasim berkata, kapal yang membawa muatan pasir itu dikesan bersauh kira-kira 0.6 batu nautika tenggara Pulau Kendi, pada pukul 4.30 petang.

Hasil pemeriksaan mendapati kapal berkenaan dikendali lapan kru yang terdiri daripada warga Indonesia dan China.

“Pemeriksaan lanjut mendapati kesemua mereka memiliki dokumen pengenalan diri yang sah namun kapal itu tidak memiliki kebenaran bersauh daripada Pengarah Jabatan Laut Malaysia seperti yang dikehendaki mengikut undang-undang.

Kapal korek itu membawa muatan pasir.

“Susulan itu, kesemua kru kapal berusia antara 35 hingga 59 tahun itu dibawa pejabat APMM negeri bagi siasatan lanjut mengikut Seksyen 491B(1), Ordinan Perkapalan Saudagar 1952,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Razali, pihaknya tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang melanggar undang-undang laut negara dan akan terus memperketat pengawasan khususnya terhadap aktiviti mencurigakan di perairan negeri ini.

“Komuniti maritim turut diseru supaya sentiasa mematuhi peraturan yang ditetapkan bagi menjamin keselamatan dan kelestarian perairan negara,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here