PUTRAJAYA – Laporan forensik membabitkan 10 rakaman video berkaitan dakwaan rasuah membabitkan beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di Sabah akan dikeluarkan dalam tempoh seminggu lagi.
Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki berkata, beliau sendiri turut memberi perhatian lebih ke atas siasatan kes itu agar tiada pihaknya yang mempertikaikan kelewatan laporan tersebut.
Namun menurutnya, beliau mahu satu laporan forensik yang adil kerana ia melibatkan 10 video dan perlu dianalisa secara teliti.
“Saya jangka dalam seminggu lagi akan keluar dan saya pun ada bertanya dan sibuk bertanya dan saya pun tidak mahu lambat perkara ini dan tidak mahu ada pihak bertanya kenapa lambat dan sebagainya.
“Jadi dalam seminggu lagi dan mereka memerlukan masa sedikit lagi kerana 10 video bukan satu video dan kena tengok dan perlu teliti kerana perlu adil dan nanti ada pihak yang mempertikaikan semula dan akhirnya satu laporan forensik adil yang dibuat dan kena buat cara elok,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan Southeast Asia Anti-Corruption Conference di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya di sini hari ini.
Turut hadir, Presiden Kesatuan Antirasuah Asia Tenggara (Sea Actions), Tan Sri Abu Kassim Mohamed dan Pengerusi Jawatankuasa Penganjur Persidangan yang juga Ahli Lembaga Pengarah Institut Integriti Malaysia (IIM), Datuk Seri Mustafar Ali.
Pada 10 April lalu, Azam memaklumkan 10 video dikemukakan kepada SPRM berhubung dakwaan rasuah melibatkan ADUN Sabah, sedang dianalisis.
Katanya, siasatan terhadap lapan ADUN terbabit dan seorang individu tetap diteruskan walaupun kesahihan video masih belum dapat disahkan. – MalaysiaGazette
