GEORGE TOWN – Kementerian Digital menyifatkan Koridor Utara yang merangkumi Pulau Pinang, Kedah, Perlis dan Perak sebagai sebagai kawasan strategik yang mampu melonjakkan transformasi digital negara.
Menterinya, Gobind Singh Deo berkata, ia susulan Pulau Pinang sahaja berjaya menarik pelaburan bernilai RM1.23 bilion dalam syarikat berstatus Malaysia Digital (MD).
Katanya, pelaburan itu dijangka menjana 266 peluang pekerjaan terutama dalam sektor bernilai tinggi seperti reka bentuk litar bersepadu dan perisian tertanam.
“Sejak Januari hingga pertengahan April tahun ini syarikat MD yang baru diluluskan telah menyatakan komitmen pelaburan sebanyak RM16.2 bilion dengan anggaran 6,480 pekerjaan diwujudkan dalam tempoh lima tahun akan datang.
“Pelaburan dalam Pusat Data dan Awan mendahului carta, menyumbang RM9.9 bilion atau lebih 60 peratus daripada jumlah keseluruhan dengan syarikat AI kini membentuk bahagian terbesar syarikat baharu berstatus MD sebanyak 27 peratus diikuti Pusat Data 23 peratus dan Perkhidmatan Perniagaan Global 11.5 peratus.
“Keyakinan pelabur terhadap Malaysia kekal kukuh dengan lima sumber utama pelaburan langsung asing (FDI) adalah dari Belanda, Singapura, Hong Kong, India, dan United Kingdom mencerminkan kekuatan infrastruktur dan dasar mesra pelabur negara kita,” katanya.
Gobind berkata demikian ketika berucap pada Hari Terbuka MD 2025 dan Majlis Perasmian Pejabat Kementerian Digital Wilayah Utara, di sini, hari ini.
Dalam perkembangan sama, Gobind turut mengumumkan pelaksanaan Akta Perkongsian Data 2025 yang mula berkuat kuasa semalam, sebagai usaha memperkemas perkongsian data antara agensi kerajaan untuk memacu keputusan berasaskan data.
“Selain itu, Pejabat Kecerdasan Buatan Kebangsaan (NAIO) juga telah ditubuhkan bagi memastikan pembangunan teknologi AI di Malaysia berjalan secara beretika, inklusif dan selamat.
“Kerajaan komited untuk terus memastikan manfaat teknologi digital dirasai seluruh negara termasuk menerusi program pendigitalan perusahaan kecil dan sederhana yang kini giat dijalankan oleh MDEC,” katanya. – MalaysiaGazette