Kumar menunjukkan sebahagian dadah yang dirampas menerusi tujuh serbuan di empat daerah selepas sidang akhbar di IPK Johor, Johor Bahru hari ini.

JOHOR BAHRU – Polis Johor menumpaskan lima sindiket pembungkusan dan pengedaran dadah bernilai RM9 juta selepas menahan lima lelaki termasuk seorang warga Singapura dalam tujuh serbuan melibatkan empat daerah pada 20 hingga 24 April lalu.

Serbuan dilakukan menerusi operasi khas Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Johor itu dilakukan menerusi pemeriksaan dalam kenderaan dan kediaman yang disewa di daerah Johor Bahru Selatan, Batu Pahat, Kota Tinggi dan Kluang.

Ketua Polis Johor, Datuk M Kumar berkata, serbuan pertama dan kedua dilakukan pukul 1.30 petang hingga 7.30 malam, pada 20 April di Jalan Abdullah Tahir, di sini, dan menahan seorang lelaki tempatan berusia 22 tahun.

“Serbuan dilakukan dalam sebuah kereta di tepi jalan tersebut sebelum serbuan susulan dilakukan di sebuah apartment yang disewa suspek dan menemukan 9,351.06 gram(g) serbuk ekstasi dan 62.00g ketamin.

“Jumlah sitaan bagi operasi ini yang turut melibatkan rampasan sebuah kenderaan dan wang tunai RM1,724,927. Suspek tidak mempunyai rekod lampau dan ujian saringan air kencing mendapati positif dadah jenis methamphetamine,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini, hari ini.

Katanya, serbuan ketiga dilakukan pukul 7 malam hingga 11.30 malam, pada 21 April di sebuah jeti di Batu Pahat dan menahan seorang lelaki tempatan berusia 36 tahun bersama-sama kenderaan pacuan empat roda dan merampas syabu 20,712g.

Beliau memberitahu, dadah tersebut dipercayai dipasarkan ke negara jiran dengan melalui jeti berkenaan, jumlah nilai rampasan berkenaan RM662,784.

Menerusi serbuan keempat katanya, dilakukan pukul 9 malam, 23 April hingga 7 pagi, 24 April di kawasan Kota Tinggi dan menahan seorang lelaki tempatan berusia 36 tahun serta merampas 20,044g serbuk ekstasi dan 13.99g (50 biji) pil eramin 5.

“Jumlah rampasan dadah dalam serbuan ini bernilai RM3,348,348. Modus operandi suspek adalah dengan menggunakan kereta sewa sebagai tempat penyimpanan bagi mengelak dikesan pihak berkuasa. Suspek mempunyai rekod lampau dan positif Methamphetamine,” ujarnya.

Sementara serbuan kelima dan keenam katanya, dilakukan pukul 1 petang, 23 April hingga 12.30 tengah malam di Kluang, menahan seorang lelaki tempatan berusia 33 tahun selepas melakukan pemeriksaan ke atas sebuah kereta Proton Wira dan sebuah rumah teres milik isteri suspek di Taman Mengkibol.

Kumar berkata, dalam serbuan tersebut pihaknya merampas 9,909.70g serbuk ekstasi, 187.30g ketamin dan 78.30g pil Eramin 5 dengan rampasan dan sitaan itu berjumlah 1,897,505.40, modus operandi suspek adalah sama iaitu menjadikan kereta sebagai tempat penyimpanan dadah.

Menerusi serbuan ketujuh pula katanya, dilakukan pukul 10 malam, 23 April hingga 3 pagi, 24 April di sebuah apartment di Danga Bay, di sini, dan menahan seorang lelaki warga Singapura berusia 47 tahun yang mempunyai dokumen tetapi milik orang lain.

Menurutnya, pihak polis merampas 10,024g serbuk ekstasi, 31.30g ketamin, 44.00g ganja, 9.00g heroin, 6.00g pil ekstasi dan 1.20g pil yaba manakala nilai rampasan serta sitaan berjumlah RM1,687,878.

“Suspek yang tidak bekerja dan dipercayai menjadi salah seorang operator sahaja dan kita percaya masih ada lagi saki baki sindiket dadah ini yang sudah aktif sejak Januari lalu. Suspek juga mempunyai satu kes dadah lampau di Singapura,” katanya.

Jelasnya, semua sindiket dadah tersebut menjalankan kegiatan pembungkusan dan pengedaran dengan menggunakan pakej atau bungkusan minuman tempatan.

Tambahnya, semua suspek bagi kelima-lima kes berkenaan direman sehingga 30 April ini untuk siasatan bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here