Oleh: Prof Madya Dr Malina Osman
MALARIA merupakan jangkitan yang disebabkan oleh parasit Plasmodium yang terdiri dari lima spesis yang berupaya menyebabkan jangkitan di kalangan manusia. Malaria falsiparum, vivax, malariae dan ovale beredar dalam kalangan manusia sahaja (human malaria) manakala malaria knowlesi merupakan jangkitan zoonotik yang berlaku pada manusia berpunca daripada jangkitan malaria dalam kalangan populasi monyet.
Malaria secara umum dijangkitkan melalui gigitan nyamuk Anopheles (nyamuk tiruk) serta berlaku di pedalaman Sabah, Sarawak dan juga Semenanjung. Terdapat juga jangkitan akibat tularan dari individu yang merupakan pembawa serta berlaku di kawasan bandar.
Gejala utama malaria adalah demam panas yang teruk serta kehadiran gejala secara berselang seli dengan tempoh tanpa demam dengan episod sejuk menggigil. Tempoh selang seli tersebut bergantung kepada jenis spesis, iaitu sama ada setiap tiga atau empat hari mendapat demam. Namun malaria knowlesi, kitaran panas dan sejuk menggigil berlaku dalam tempoh 24 jam.
Komplikasi serius dilaporkan berlaku akibat jangkitan malaria falsiparum dan knowlesi apabila ia berpotensi mengakibatkan kematian. Malaria yang dikenali sebagai demam kura mula dilaporkan berlaku di negara kita sejak kurun ke 19 di Perak dan Selangor, Pahang dan Negri Sembilan. Aktiviti kawalan malaria mula dilaksanakan pada 1960 melalui Program Eradikasi Malaria yang berjaya menurunkan kes dari 243, 8702 pada 1961 kepada 4725 pada tahun 2012.
Sebelum peningkatan malaria knowlesi mula dicatatkan di negara kita pada tahun 2005, dua spesisi utama yang dilaporkan di negara kita ialah malaria falsiparum dan vivax. Sejak inisiatif program kawalan malaria, pola malaria terus menunjukkan penurunan konsisten sejak 2017 apabila Malaysia mencatatkan sifar kes untuk malaria tempatan akibat malaria faliparum dan vivax.
Bagaimanapun, namun terdapat peningkatan malaria knowlesi yang dilaporkan mencatatkan 14 kematian pada tahun 2023.
Penggunaan kelambu berubat (insecticide treated net ITN) serta semburan bahan pembunuh nyamuk di dinding rumah (insecticide residual spray IRS) merupakan antara pendekatan yang didapati berkesan membantu menurunkan transmisi malaria falsiparum dan vivax. Pola jangkitan di kalangan mereka yang dipedalaman menurun dengan ketara selepas aktiviiti penggunaan kelabu berubat serta semburan dinding rumah dipergiatkan.
Berbeza pula dengan jangkitan malaria knowlesi, pola jangkitan didapati banyak berlaku akibat pendedahan individu ke tempat-tempat berisiko dengan tularan parasit knwlesi iaitu melibatkan aktiviti di dalam hutan, tidur di khemah penempatan sementara serta penempatan yang hampir dengan aktiviti penebangan hutan.
Antara teori yang dikemukakan berlakunya peningkatan malaria knowlesi ialah penurunan kes malaria falsiparum dan vivax menyebabkan penurunan imuniti kelompok kepada jangkitan malaria. Penurunan antibodi masyarakat terhadap malaria menyebabkan sebahagian besar terdedah kepada jangkitan knowlesi terutama di tempat-tempat yang terletak di titik-titik panas jangkitan.
Pada masa ini, fokus utama kawalan malaria di Malaysia tertumpu kepada kawalan dan pencegahan jangkitan malaria knowlesi. Malaria knowlesi mempunyai presentasi klinikal yang agak berbeza berbanding malaia yang lain iaitu mempunyai corak demam berselang-seli dengan sejuk menggigil dalam tempoh 24 jam serta gejala seperti sakit badan, sakit kepala, loya, muntah dan sakit perut yang teruk.
Risiko jangkitan teruk berkait dengan kewujudan faktor usia lanjut, komorbid seperti penyakit jantung, beban parasit yang tinggi dalam tubuh, sesak nafas dan sakit perut yang teruk. Pencegahan dan kawalan malaria knowlesi perlu ditumpukan ke kawasan-kawasan yang dicerap mempunyai populasi monyet yang berisiko menularkan jangkitan, ini teruatamanya melibatkan kawasan pedalaman yang menjadi tumpuan aktiviti ekonomi seperti ekotourism serta agrotani.
Penggunaan teknologi pemantauan yang intensif mencerap pergerakan monyet-monyet berisiko serta saringan di kalangan mereka yang terdedah kepada risiko antara strategi semasa bagi mengelakkan berlakunya kelewatan diagnosis dan rawatan. Di samping itu juga, aktiviti guna tanah serta aktiviti lapangan berkaitan perlu terus diperkasakan dengan sistem pemantauan yang lebih intensif.
Tidak dinafikan, semburan racun serangga pembunuh nyamuk pada dinding rumah atau sebarang penempatan sementara di lapangan atau pada pakaian antara strategi yang perlu dipergiatkan.
Syor ubat pencegahan jangkitan (kemoprofilaksis) untuk mereka yang berisiko juga antara potensi strategi yang boleh dipertimbangkan untuk tambahbaik pencegahan jangkitan pada masa akan datang.
Tumpuan rawatan segera mengelakkan jangkitan yang tidak dijangka, tanpa gejala serta gejala tidak ketara juga perlu dipergiatkan untuk mengelakkan manifestasi klinikal yang teruk. Peranan vaksin terhadap malaria yang kini tertumpu di benua Afrika di kalangan kanak-kanak di dapati berjaya menurunkan kematian sehingga 13% akibat malaria serta berkesan sehingga 75%.
Fokus penyelidikan di lapangan disyorkan memberikan perhatian terhadap potensi vaksin yangdiharap turut memberikan kesan positif terhadap malaria yang disebabkan oleh Plasmodium knowlesi.
Melalui perkembangan semasa negara yang menitikberatkan pulangan ekonomi melalui aktiviti pelancongan melibatkan kawasan-kawasan berisiko jangkitan malaria knowlesi, strategi pencegahan dan kawalan perlu dipergiatkan. Justeru kerjasama masyarakat awam dan pemegang taruh antara kunci utama untuk terus menurunkan risiko malaria knowlesi.
Penulis adalah Pensyarah Jabatan Sains Kesihatan Komuniti, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan
Universiri Putra Malaysia