Presiden MAPIM, Mohd Azmi Abdul Hamid.

KUALA LUMPUR – Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) mengecam tindakan rejim Zionis Israel yang terus menerus menyasarkan wartawan secara sistematik dalam serangan kejam ke atas Gaza.

Presidennya, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, tindakan itu bukan sahaja melanggar undang-undang antarabangsa, malah merupakan jenayah perang yang jelas dilakukan secara terang-terangan untuk membungkam suara kebenaran.

Menurut laporan terkini Pejabat Media Kerajaan Gaza, jumlah wartawan Palestin yang terkorban sejak bermulanya perang genosid ke atas Gaza kini mencecah 212 orang.

Mangsa terbaru termasuk Helmi Al-Faqaawi dan Saeed Amin Abu Hasanein dari Radio Suara Al-Aqsa, yang terbunuh akibat serangan udara langsung Israel ke atas khemah wartawan berhampiran Hospital Nasser di Khan Younis.

“Tindakan membunuh wartawan secara sengaja adalah jenayah perang yang tidak boleh dibiarkan. Komuniti antarabangsa, khususnya pengamal media di seluruh dunia, tidak boleh terus berdiam diri,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Justeru Mohd Azmi menegaskan, pihaknya menuntut supaya Persekutuan Wartawan Antarabangsa (IFJ), Persekutuan Wartawan Arab dan seluruh organisasi media dunia mesti segera mengutuk tindakan zalim Israel terhadap wartawan.

Katanya, media dunia perlu bangkit dan berani untuk mendedahkan jenayah perang Israel serta kempen genosid yang sedang berlaku di Gaza.

Malah tegasnya, Israel wajib didakwa di Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) atas jenayah terhadap kemanusiaan dan jenayah perang ke atas wartawan.

Beliau menambah, negara-negara barat seperti Amerika Syarikat, United Kingdom, Jerman dan Perancis yang terus menyokong Israel dari segi politik, ketenteraan dan diplomasi perlu turut dipertanggungjawabkan atas jenayah ini.

MAPIM turut menggesa campur tangan segera antarabangsa bagi melindungi keselamatan wartawan dan petugas media di Gaza.

“Segala jenayah terhadap wartawan mesti didokumentasikan secara sistematik dan tindakan undang-undang harus diambil terhadap rejim Israel yang melakukan kezaliman ini.” ujarnya.

Beliau turut menegaskan, bahawa komuniti antarabangsa mesti memberi tekanan yang efektif dan bersungguh-sungguh bagi menghentikan pembunuhan beramai-ramai yang sedang berlaku.

“Keberanian dan pengorbanan wartawan Palestin yang terus menyampaikan kebenaran di tengah-tengah serangan bom mesti dihormati. Dunia tidak boleh menjadi penonton bisu terhadap pembantaian suara-suara yang berjuang membawa cahaya kepada penderitaan rakyat Palestin.”

“MAPIM turut mendoakan agar para syuhada yang terkorban dicucuri rahmat Allah SWT serta kekuatan buat keluarga mereka yang kehilangan insan tersayang.

“Kami teguh bersama rakyat Palestin dan seluruh petugas media yang berani mempertahankan kebenaran dan keadilan,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here