PUTRAJAYA – Masa pembelajaran bagi Pendidikan Kesihatan Reproduktif dan Sosial (PEERS) akan ditambah bermula tahun 2027, sebagai usaha meningkatkan kesedaran dan pengetahuan kepada pelajar sekolah.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, tambahan masa itu akan dilaksanakan sempena bermulanya kurikulum baharu kelak.
“Kita ambil serius kepada maklumat itu, tetapi dalam konteks hari ini memang pendekatan kita insyaAllah pada 2027 iaitu kurikulum baharu, kita akan menambah masa untuk pendidikan PEERS ini.
“Jadi akan ada tanggung jawab dan komitmen besar dari peringkat KPM untuk menambah masa, untuk memberikan pendidikan pada anak-anak tentang isu-isu ini,”katanya.
Beliau berkata demikian ketika sidang media di Majlis Anugerah Sukan KPM-MSSM-MILO Ke-56 2024.
Tambahnya, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) juga melaksanakan program-program kesedada secara meluas di peringkat sekolah demi memastikan pelajar mendapat maklumat yang tepat tentang cara melindungi diri.
“Juga program khususnya untuk guru-guru juga supaya guru-guru juga supaya mereka sampaikan tentang perkada ini dengan lebih baik,” katanya lagi.
Semalam, Setiausaha Kehormat Majlis Aids Malaysia (MAC) dan Yayasan Aids Malaysia (MAF), Dr Zaiton Yahaya dilapor sebagai berkata kes jangkitan HIV dalam kalangan penuntut universiti dan sekolah menunjukkan peningkatan.
Katanya, kebanyakan mereka menerima jangkitan akibat aktiviti seksual.
Jelasnya, kebanyakan mereka berusia 20 hingga 29 tahun antara 44 peratus golongan yang dikesan mendapat jangkitan HIV itu.-MalaysiaGazette