Mohd Saufi ditemui lemas di Sungai Sawah Ring, Gersik, Tangkak, hari ini selepas hilang semasa memasang joran malam kelmarin.

TANGKAK – Misteri kehilangan seorang posmen yang keluar memasang tajur untuk menangkap ikan malam kelmarin akhirnya terjawab selepas mayatnya ditemui di Sungai Sawah Ring, Gersik di sini hari ini.

Mohd Saufi Rosni, 39, ditemui rakan-rakannya pada pagi tadi kira-kira 800 meter dari lokasi dipercayai terjatuh sekali gus merungkai persoalan mengenai kehilangannya.

Ketua Polis Daerah Tangkak, Superintendan Roslan Mohd Talib mengesahkan pihaknya menerima laporan penemuan mayat lelaki tersebut.

“Pada pukul 9.50 pagi tadi, mayat ditemui sebelum dibawa ke Hospital Tangkak untuk bedah siasat dan kes diklasifikasikan mati mengejut,” katanya ketika dihubungi.

Difahamkan Mohd Saufi dilaporkan keluar rumah berseorangan pada pukul 12.30 tengah malam kelmarin dengan menaiki bot untuk memasang tajur.

Bagaimanapun dia dilaporkan tidak pulang ke rumah pada pagi keesokan hari sebelum operasi mencari dan menyelamat dilakukan pihak berkuasa.

Sementara itu, Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bukit Gambir, Pegawai Bomba Kanan Johar Tumin berkata, 12 anggota dibantu Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) BBP Muar dikejarkan ke tempat kejadian.

Menurutnya, sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT), satu Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dan satu utiliti turut terlibat dalam kerja-kerja mencari dan menyelamat.

“Mangsa didapati terjatuh dalam anak sungai dengan kedalaman kira-kira 100 kaki. Operasi mencari dan menyelamat yang bermula semalam tidak berhasil sebelum disambung hari ini.

“Operasi mencari dan menyelamat pada hari ini berjaya menemukan mangsa di kawasan sungai dalam radius dua kilometer mangsa dilaporkan hanyut,” katanya dalam kenyataan.

Tambahnya, pihak bomba mengangkat mayat mangsa ke dalam bot orang awam untuk dibawa ke darat dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here