Tertuduh, Muhamad Adam Haiqal Abdullah, 19, dibawa keluar oleh anggota polis atas pertuduhan melakukan amang seksual fizikal ke atas seorang kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun di sebuah masjid ketika di Mahkamah Sesyen Ampang, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 27 FEBRUARI 2025. (GAMBAR FAIL)

KUALA LUMPUR – Seorang pemuda yang didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap kanak-kanak perempuan di sebuah masjid dekat Batang Kali, Februari lalu, akan dirujuk ke Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak untuk pemeriksaan kesihatan mental.

Peguam Lingswaran Singh mengemukakan permohonan di Mahkamah Sesyen Ampang dekat sini hari ini agar anak guamnya, Muhamad Adam Haiqal Abdullah, 19, yang juga orang kurang upaya (OKU), dirujuk ke hospital kerajaan untuk pemeriksaan.

Hakim Norshila Kamarudin kemudian menetapkan 22 Julai ini untuk sebutan kes bagi mendapatkan laporan pakar psikiatri, laporan perubatan mangsa dari Hospital Selayang serta rakaman forensik sistem kamera litar tertutup (CCTV) tempat kejadian.

Terdahulu, Lingswaran memohon anak guamnya dirujuk ke hospital kerajaan untuk penilaian psikiatri di bawah Seksyen 342 Kanun Prosedur Jenayah.

Peguam memaklumkan, anak guam menunjukkan tanda-tanda masalah kewarasan melalui pemerhatian tingkah lakunya.

Menurut Lingswaran, dapatan itu diperolehi hasil interaksi pihak pembelaan dengan ibunya serta penilaian psikologi bertarikh 15 Julai 2022 daripada sebuah universiti awam.

“Tertuduh menunjukkan tingkah laku atau mengeluarkan kenyataan yang menimbulkan keraguan munasabah bahawa kemungkinan besar dia mengalami masalah kewarasan dan tidak berupaya untuk membela diri,” ujar peguam itu.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Nadiah Malek Fauzie memaklumkan, pihaknya masih menunggu laporan CCTV tempat kejadian dan laporan perubatan mangsa dari Hospital Selayang.

Sementara itu, Lingswaran ketika ditemui wakil media di luar mahkamah memaklumkan, pihak pembelaan menunggu laporan penilaian pakar psikiatri bagi menentukan sama ada anak guamnya layak dibicarakan atau sebaliknya.

“Keputusan penilaian itu akan menentukan sama ada pembelaan akan mengemukakan representasi untuk menggugurkan pertuduhan,” ujarnya.

Pada 27 Mac lalu, lelaki itu menukar pengakuan kepada tidak bersalah atas pertuduhan melakukan amang seksual fizikal ke atas seorang kanak-kanak perempuan berumur 10 tahun lapan bulan bagi maksud seksual.

Kejadian didakwa dilakukan di sebuah masjid di Batang Kali di sini, pada pukul 6.20 pagi, 21 Februari lalu.

Ketika dihadapkan ke mahkamah pada 27 Februari lalu, dia mengaku bersalah atas pertuduhan tersebut yang dikemukakan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

Dia boleh dihukum bawah Seksyen 14 akta sama, membawa hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Tertuduh yang dibenarkan ikat jamin RM15,000 oleh mahkamah, bagaimanapun tidak membayarnya.

Februari lalu, Polis Hulu Selangor memaklumkan telah menerima laporan pada jam 8.19 pagi berhubung kejadian yang tular di media sosial, sebelum suspek ditahan pada hari yang sama di sekitar Batang Kali.

Dalam kejadian itu, tular rakaman CCTV memaparkan seorang lelaki menyelinap masuk ke ruang solat wanita sebelum memeluk seorang kanak-kanak yang sedang sujud dari arah belakang ketika jemaah lain sedang menunaikan solat Subuh. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here