LONDON – Bekas pemain Manchester United, Paul Pogba dilaporkan semakin hampir untuk kembali ke padang apabila sudah mengenal pasti pasukan yang bakal diwakilinya selepas penggantungannya berakhir Mac lalu.
Terbaharu, spekulasi mengaitkan Pogba denga pasukan dari Liga Bola Sepak Major (MLS), DC United yang dilaporkan berminat untuk mendapatkan khidmatnya.
Menurut Sports Illustrated, DC United telah menyenaraikan nama Pogba sebagai pemain yang mereka cuba dapatkan dengan mendapat pengesahan daripada pentadbir saingan MLS bagi mengelak daripada perebutan dengan kelab lain bagi proses rundingan.
Selain Pogba, DC United juga dilaporkan berminat untuk mendapatkan Kevin De Bruyne yang akan meninggalkan Manchester City pada penghujung musim ini namun Inter Miami juga sedang memantau secara dekat perkembangan pemain itu.
Sebelum ini, pemain tengah Perancis dikesan menggunakan bahan terlarang dehydroepiandrosterone (DHEA) yang membantu meningkatkan pengeluaran hormon seperti testosteron pada tahun 2023 menyebabkan dia digantung dan kini hukuman berkenaan sudah berakhir.
Pogba yang kini berstatus ejen bebas selepas kontraknya bersama Juventus berakhir dikaitkan dengan beberapa kelab dari Eropah, Arab Saudi, dan Amerika Syarikat namun tiada sebarang tawaran rasmi diterima. – Agensi