SERDANG – Kepimpinan mahasiswa perlu dibentuk melalui karakter berintegriti, kemahiran komunikasi yang mantap serta keupayaan membuat keputusan berasaskan maklumat yang sahih.
Perkara itu ditegaskan, Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir ketika berinteraksi bersama pemimpin Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) dalam sesi libat urus Program KARISMA MPP IPT 2025 di Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi (AKEPT), semalam.
Katanya, seorang pemimpin muda perlu memiliki kemahiran berkomunikasi dengan keyakinan, keupayaan membentuk pasukan yang efektif, serta mempunyai sikap bertanggungjawab terhadap setiap keputusan yang dibuat.
“Mahasiswa perlu memahami konsep ‘Informed Decision’, iaitu membuat keputusan berdasarkan fakta dan penilaian rasional, bukan terikut-ikut sentimen media sosial atau maklumat yang bias,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Dalam pada itu, Zambry menekankan keperluan membuka lebih banyak laluan akademik dari Politeknik dan Kolej Komuniti ke universiti, seiring dengan usaha memperkasa pendidikan TVET sebagai sebahagian daripada sistem pendidikan tinggi negara.
Beliau turut memberi perhatian terhadap kebajikan pelajar daripada golongan B40 melalui cadangan penggunaan geran khusus untuk memperkukuh inisiatif seperti Bank Makanan di IPT serta penambahbaikan elaun latihan industri (LI) dan pelajar program Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (ISMP).
Sesi libat urus tersebut sekali lagi mencerminkan pendekatan keterbukaan Kementerian Pendidikan Tinggi dalam mendengar, memahami dan membimbing mahasiswa ke arah pembentukan kepimpinan Malaysia Madani yang lebih progresif, berdaya saing dan berjati diri tinggi.
Program KARISMA MPP IPT 2025 yang berlangsung dari 25 hingga 28 April menghimpunkan seramai 110 pemimpin mahasiswa dari Universiti Awam, IPTS, Politeknik dan Kolej Komuniti seluruh negara, melibatkan penyertaan 19 Universiti Awam, enam IPTS, 21 politeknik dan 12 kolej komuniti.
Program permukiman anjuran Jabatan Pendidikan Tinggi (JPT) dengan kerjasama Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi (AKEPT) dan Akademi Kenegaraan (AK) ini mengetengahkan konsep latihan hands-on, minds-on dan hearts-on yang menekankan pembangunan karakter, integriti dan jaringan kepimpinan nasional dalam kalangan mahasiswa.
Katanya, Kementerian Pendidikan Tinggi komited untuk terus melaksanakan program pembangunan bakat seperti KARISMA bagi melahirkan barisan pelapis kepimpinan negara yang berkualiti tinggi dan sejajar dengan aspirasi Malaysia Madani. – MalaysiaGazette