KUALA LUMPUR – Polis mengesahkan telah menahan seorang pengawal keselamatan kerana cuba melakukan perbuatan tidak senonoh terhadap remaja perempuan berusia 16 tahun dengan cara merakam gambar secara mengaibkan.
Ketua Polis Derah Kajang, Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, pihaknya menerima aduan daripada seorang penjawat awam yang mengadu, suspek cuba merakam gambar mengaibkan anak perempuannya ketika sedang membuat bayaran di kanter sebuah pasar raya di bandar Kajang.
Katanya, seorang lelaki tempatan yang berada di dalam premis berkenaan telah menegur perbuatan pengawal keselamatan itu dan akhirnya menggagalkan cubaan tidak bermoral oleh suspek.
“Ketika ditegur, suspek telah menafikan perbuatannya dan terus beredar meninggalkan pasar raya tersebut,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Naazron berkata, bertindak atas maklumat itu, polis telah menahan suspek berusia 48 tahun kira-kira pukul 12.15 malam tadi dan merampas sebuah telefon bimbit daripadanya.
Suspek direman selama sehari bagi membantu siasatan kes berkenaan.
Kes disiasat dibawah Seksyen 15(a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017, yang mana jika disabit kesalahan boleh dihukum penjara tidak melebihi 10 tahun atau denda sehingga RM20,000 atau kedua-duanya sekali.
Beliau menggesa orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian itu untuk menghubungi mana-mana balai yang berdekatan atau berhubung terus dengan Pegawai Penyiasat kes, Sarjan Noriyati Abdullah di talian 016-3516908.
Terdahulu, tular di laman sosial Instagram perbuatan suspek ketika berada di dalam sebuah pasar raya.
Video tersebut dikongsikan pengguna capricedaddycap yang kemudiannya mendapat pelbagai reaksi daripada netizen. – MalaysiaGazette