PENYAKIT HFMD (tangan, kaki, mulut) merupakan penyakit berjangkit bersifat endemik di negara ini yang secara umumnya kerap berlaku kepada golongan kanak-kanak berusia bawah lima tahun.

JOHOR BAHRU – Johor merekodkan peningkatan ketara kes penyakit kaki, tangan dan mulut (HFMD) sehingga Minggu Epid (ME) ke-17 iaitu sebanyak 1,441 kes, berbanding ME-16 yang mencatatkan 1,196 kes.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, Ling Tian Soon berkata, jumlah itu meningkat 20.5 peratus sekaligus menunjukkan trend awal tahun ini yang lebih tinggi berbanding tempoh sama pada 2023 dan 2024.

Daerah Johor Bahru mencatatkan bilangan kes tertinggi iaitu sebanyak 386 kes (26.8 peratus) diikuti Batu Pahat 254 kes (17.6 peratus) dan Kluang 192 kes (13. peratus).

Seterusnya di Kota Tinggi 140 kes (9.7 peratus), Tangkak 134 kes (9.3 peratus), Muar 128 kes (8.9 peratus), Pontian 94 kes (6.5 peratus), Segamat 47 kes (3.3 peratus), Mersing 37 kes (2.6 peratus) dan Kulai 29 kes (2.0 peratus).

“Bagaimanapun, daerah Tangkak, Kota Tinggi dan Pontian melaporkan kadar insiden tertinggi di Johor,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tian Soon memberitahu, majoriti kes HFMD berlaku dalam kalangan kanak-kanak berumur enam tahun iaitu sebanyak 8,085 kes (83.5 peratus) diikuti kumpulan umur 7-12 tahun iaitu 1,512 kes (15.6 peratus) dan selebihnya berumur 13 tahun dan ke atas.

Jelasnya, bagi tempoh ME-17 sebanyak 14 kluster direkodkan menjadikan kumulatif sebanyak 74 kluster HFMD dilaporkan melibatkan semua daerah di negeri ini.

Kluster yang dilaporkan melibatkan 24 tabika, 19 pra sekolah, 17 taska, 12 tadika, satu sekolah rendah dan satu rumah persendirian, katanya.

“Sebanyak 360 kes telah dikesan daripada 2845 orang individu yang terdedah dengan julat kadar serangan daripada 3.9 peratus hingga 42.9 peratus,” ujarnya.

Justeru Jabatan Kesihatan Negeri Johor menasihatkan pihak pengurusan Taska, Tabika, Tadika dan pra sekolah mengambil langkah berjaga-jaga bagi mengurangkan risiko jangkitan.

Antaranya, kata Tian Soon, melakukan amalan kebersihan diri serta kawalan infeksi seperti basuh tangan dengan sabun dan air bersih selepas menggunakan tandas, sebelum menyediakan makanan selepas menukar lampin dan mencuci najis kanak-kanak.

“Amalkan etika batuk dan bersin yang betul iaitu dengan menutup mulut dan hidung semasa batuk dan bersin. Tidak berkongsi barangan peribadi seperti berus gigi, sapu tangan, tuala, selimut, cawan, garpu dan sudu.

“Sentiasa mengekalkan kebersihan sama ada di rumah, pusat penjagaan kanak-kanak, tadika dan sekolah dan persekitarannya,” tambahnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here