KUALA LUMPUR – Tindakan Peguam Negara, Datuk Mohd. Dusuki Mokhtar merayu keputusan majoriti Mahkamah Rayuan melibatkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mencabar titah adendum disifatkan sebagai pelik.
Timbalan Presiden Pas Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, rayuan yang dibuat kelihatan janggal kerana Istana Pahang telah mengeluarkan kenyataan yang mengesahkan kewujudan adendum tersebut.
“Tindakan ini seolah-olah membawa maksud bahawa Peguam Negara tidak mempercayai kenyataan daripada Istana Pahang.
“Peliknya, titah adendum yang mahu dipersoalkan kewujudannya telah jelas dikeluarkan oleh pihak istana, ditularkan di media sosial, dibaca oleh rakyat umum, dan tidak dinafikan oleh pihak Istana Pahang,” kata Tuan Ibrahim dalam kenyataan hari ini.
Sementara itu Ahli Parlimen Kubang Kerian itu turut mempersoalkan sikap pemimpin UMNO yang didakwa berdiam diri dengan tindakan yang diambil oleh Peguam Negara.
“Lebih malang bagi Datuk Seri Najib apabila parti beliau sendiri hanya bermain wayang, apabila tiada satu pun kenyataan daripada pimpinan utama UMNO berkaitan isu ini.
“Kesungguhan mereka pada peringkat awal mempertahankan kewujudan titah adendum bekas presiden mereka itu kini hanya tinggal kenangan.
“Mungkin masing-masing sudah lupa dan selesa dengan kedudukan mereka dalam kerajaan ketika ini,” katanya.
Tuan Ibrahim menjangkakan kes melibatkan titah adendum akan mengambil masa yang panjang.
Mohd. Dusuki semalam mendapat kebenaran Mahkamah Persekutuan untuk merayu keputusan majoriti Mahkamah Rayuan melibatkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mencabar Titah Adendum.
Keputusan itu dibuat panel tiga hakim yang diketuai oleh Hakim Besar Malaya, Datuk Seri Hasnah Mohammed Hashim yang membenarkan beliau mengemukakan tujuh persoalan undang-undang untuk dihujahkan dalam pendengaran rayuan kelak.
Mahkamah berpuas hati persoalan undang-undang yang dikemukakan dengan menyentuh isu kepentingan awam yang belum pernah didengar dan diputuskan oleh mahkamah tertinggi negara.
Pada 6 Januari lalu, panel tiga hakim Mahkamah Rayuan membenarkan bekas Perdana Menteri itu untuk mencabar kewujudan Titah Adendum bagi membolehkan beliau menghabiskan baki hukuman penjara enam tahun dalam tahanan rumah.-MalaysiaGazette