KUALA LUMPUR – Kerajaan diseru mempertingkatkan urus libat dengan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan pihak berkepentingan dalam merangka dasar buruh yang lebih seimbang.
Presiden Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (Samenta), Datuk William Ng berkata, dasar buruh perlu dilaksanakan secara berperingkat, dengan rundingan mencukupi, mekanisme sokongan sesuai, serta tempoh transisi yang munasabah.
Ia kerana, reformasi buruh harus memperkukuhkan dan bukannya melemahkan ekonomi negara.
“PKS perlu dibantu untuk menyesuaikan diri dengan peningkatan standard pekerja melalui program peningkatan produktiviti, sokongan automasi, dan pembangunan kapasiti yang bersasar,” katanya di sini.
Menurutnya, PKS, yang menyumbang 38% kepada Keluaran Dalam Negara Kasar negara dan menyediakan 48% daripada jumlah pekerjaan dan menawarkan peluang pekerjaan merentasi pelbagai tahap kemahiran dan kelayakan.
Dalam melaksanakan visi Ekonomi Madani, adalah penting memperkukuhkan kedua-dua golongan pekerja serta PKS yang menjadi tunjang sokongan mereka.
Ng tidak menafikan kerajaan telah memperkenalkan pelbagai inisiatif yang bertujuan meningkatkan standard buruh negara dan menambahbaik pendapatan pekerja.
Program seperti model gaji progresif, peluasan perlindungan keselamatan sosial, dan inisiatif peningkatan kemahiran jelas menunjukkan komitmen kerajaan untuk memperkasakan tenaga kerja negara ke arah menjadi negara berpendapatan tinggi.
Namun begitu, ujar beliau, inisiatif-inisiatif yang baik ini turut memberikan tekanan besar kepada PKS.
“Peningkatan kos pematuhan, beban pentadbiran yang bertambah, serta tekanan kenaikan upah tanpa peningkatan produktiviti atau sokongan yang sepadan berisiko melemahkan PKS yang merupakan penyumbang utama peluang pekerjaan di Malaysia.
“Tidak seperti syarikat besar, PKS beroperasi dengan margin keuntungan yang amat kecil dan mempunyai kapasiti yang terhad untuk menampung perubahan peraturan yang mendadak,” katanya dalam kenyataan sempena Hari Pekerja pada Khamis ini.
Dalam tempoh tiga tahun kebelakangan ini, kadar pelaksanaan reformasi buruh di Malaysia adalah antara yang terpantas di ASEAN.
Sebaliknya, negara-negara seperti Thailand, Vietnam dan juga Singapura memperkenalkan perubahan struktur secara lebih beransur-ansur, sekali gus memberi ruang kepada perniagaan untuk menyesuaikan diri, mengadaptasi teknologi baharu dan menaik taraf tenaga kerja mereka seiring.
“Sebagai contoh, Singapura memperkenalkan Majlis Gaji Kebangsaan pada tahun 1972, model gaji progresif pada tahun 2012, dan program SkillsFuture pada tahun 2015. Setiap langkah diperkenalkan dengan tempoh masa yang mencukupi untuk membolehkan perniagaan, terutamanya PKS, menyediakan diri untuk perubahan tersebut.
“Malah, Singapura melaksanakan Skim Tambahan Pendapatan Pekerja yang memberikan bantuan kewangan langsung kepada pekerja berpendapatan rendah, bagi mengelakkan beban kenaikan gaji yang berlebihan ke atas PKS,” ujarnya.
Tambah Ng, walaupun situasi Malaysia adalah unik dan tidak boleh meminjam sepenuhnya pendekatan negara jiran, kita perlu berhati-hati agar tidak memampatkan 40 tahun reformasi buruh dalam masa hanya empat tahun. – MalaysiaGazette