PUTRAJAYA – Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki mengesahkan pihaknya telah mengenal pasti senarai individu yang terbabit dalam kes pencerobohan tanah di Raub, Pahang.
Menurut beliau, pegawai penyiasat SPRM ketika ini giat mengesan individu itu termasuk pegawai kerajaan yang berkhidmat di Pejabat Tanah dan Galian (PTG) serta pejabat daerah termasuk mereka yang sudah berpencen.
Beliau bagaimanapun memberitahu, tiada tangkapan dibuat setakat ini kerana proses siasatan yang dibuat perlu adil.
“Kita ada dalam senarai dan kalau lebih kurang 10 tahun sudah tentu pegawai berkenaan ada yang sudah berpencen dan sebagainya.
“Jadi ini menjadi satu cabaran juga kepada pegawai penyiasat saya untuk buat ‘tracing’ dan semak latar belakang siapa yang bertugas ketika itu, akan ambil masa sedikit terutama kepada mereka yang meneroka dan bagaimana mereka melakukannya.
“Keadilan dalam proses siasatan ini adalah penting,” katanya kepada media selepas merasmikan Southeast Asia Anti-Corruption Conference di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya di sini hari ini.

Turut hadir, Presiden Kesatuan Antirasuah Asia Tenggara (Sea Actions), Tan Sri Abu Kassim Mohamed dan Pengerusi Jawatankuasa Penganjur Persidangan yang juga Ahli Lembaga Pengarah Institut Integriti Malaysia (IIM), Datuk Seri Mustafar Ali.
Minggu lalu, Azam memberitahu SPRM telah membuka semula kertas siasatan berhubung pencerobohan hutan simpan di Raub, Pahang yang mendapat perhatian masyarakat, baru-baru ini.
Beliau berkata, siasatan terdahulu yang dibuka pada tahun 2021 kini disambung semula dengan tumpuan khusus terhadap beberapa aspek.