Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki hadir ke Persidangan Anti Rasuah Asia Tenggara di Pusat Konveksyen Antarabangsa Putrajaya. Foto SADIQ SANI, 29 APRIL 2025

PUTRAJAYA – Perdana Menteri kesembilan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaacob akan dipanggil semula ke pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam tempoh dua minggu lagi, kata Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki.

Beliau memberitahu, siasatan ke atas Ahli Parlimen Bera itu mengambil masa kerana ia melibatkan notis pengisytiharan harta.

Menurutnya, ketika ini Ismail Sabri diminta menyediakan dokumen-dokumen yang diperlukan bagi memenuhi keperluan siasatan berdasarkan notis yang dikeluarkan agensi tersebut.

“Beliau akan dipanggil semula dalam tempoh dua minggu lagi kerana ada dokumen-dokumen yang kita minta beliau sediakan dan kes masih lagi berjalan.

“Seperti saya sebut, kali ini berhubung pengisytiharan hartanya dan bila bercakap tentang siasatan libat pengisytiharan harta ini memang akan ambil masa sedikit dan adalah menjadi tanggungjawab beliau sebagai seorang yang diberi notis mengisytihar hartanya menjelaskan punca dan sebagainya bagi memuaskan hati kami sebagai agensi yang mengeluarkan notis berkenaan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan Southeast Asia Anti-Corruption Conference di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya, di sini hari ini.

Turut hadir, Presiden Kesatuan Antirasuah Asia Tenggara (Sea Actions), Tan Sri Abu Kassim Mohamed dan Pengerusi Jawatankuasa Penganjur Persidangan yang juga Ahli Lembaga Pengarah Institut Integriti Malaysia (IIM), Datuk Seri Mustafar Ali.

 

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki bercakap kepada wartawan ketika hadir ke Persidangan Anti Rasuah Asia Tenggara di Pusat Konveksyen Antarabangsa Putrajaya. Foto SADIQ SANI, 29 APRIL 2025

Sebelum ini, Ismail Sabri yang juga pemimpin veteran UMNO dipanggil SPRM sebanyak tujuh kali bagi proses soal siasat dan memberi keterangan lanjut bagi tujuan pengisytiharan harta kepada pegawai penyiasat agensi itu.

Beliau berdepan siasatan berhubung isu rasuah serta pengubahan wang haram membabitkan perbelanjaan dan perolehan dana untuk promosi serta publisiti Program Keluarga Malaysia.

Dakwaan salah laku itu dibuat semasa tempoh perkhidmatan beliau dari Ogos 2021 hingga November 2022.

Mengulas lanjut, Azam berkata, proses siasatan ke Ismail Sabri itu baru melibatkan antara 15 ke 20 peratus.

“Sebab beliau mengisyihar satu hal dan yang kedua kami perlu memastikan apa yang diisytihar benar atau tidak dan menjadi kesalahan sekiranya pengisytiharan itu tidak benar atau tidak mencukupi,” katanya. – MalaysiaGazette

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, Presiden SEA Actions, Tan Sri Abu Kassim (kiri) dan Ketua Pesuruhjaya Komisi Pemberantasan Korupsi Indonesia, Drs Setyo Budianto ketika hadir ke Persidangan Anti Rasuah Asia Tenggara di Pusat Konveksyen Antarabangsa Putrajaya. Foto SADIQ SANI, 29 APRIL 2025

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here