KUALA LUMPUR – Sindiket ejen haram ‘bersaudara’ ditumpaskan dengan penahanan seorang lelaki warganegara Bangladesh yang dipercayai sebagai ‘dalang utama’.
Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) juga telah menahan pasukan operasi turut menahan tiga lelaki terdiri daripada warganegara Bangladesh, India dan Indonesia yang dipercayai sebagai ‘ejen’.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, penahanan itu ekoran oerasi khas Bersama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) diadakan pada pada 28 April lalu di dua lokasi sekitar Jalan Sultan Ismail, Kuala Lumpur.
Bertindak atas maklumat awam dan risikan selama dua minggu, pasukan operasi telah diatur gerak ke premis rumah kedai dan kediaman terbabit.
Berdasarkan maklumat yang diterima, kedua-dua warganegara Bangladesh dipercayai dalang dan ejen itu mempunyai pertalian persaudaraan.
“Kesemua warganegara asing yang ditahan berusia antara 23 hingga 48 tahun. Jumlah keseluruhan yang ditahan adalah seramai empat orang,” katanya dalam kenyataan.
Semakan awal mendapati, tiga lelaki memiliki Pas Penggajian yang masih sah laku terdiri daripada dua lelaki warganegara Bangladesh dan satu lelaki warganegara India manakala satu lelaki warganegara Indonesia yang telah tinggal lebih masa.
Pasukan operasi telah menyita lesen majlis, dokumen syarikat, Sijil Suruhanjaya Malaysia (SSM), rekod perniagaan, 48 naskhah pasport Bangladesh, dua naskhah pasport India, enam naskhah pasport Indonesia, dua naskhah pasport Pakistan serta wang tunai sebanyak RM2,400.
“Modus operandi sindiket adalah menawarkan perkhidmatan imigresen berkaitan permit kerja pekerja asing yang ingin memperbaharui permit kerja dan menggunakan media sosial untuk mempromosikan perkhidmatan mereka.
“Kadar bayaran yang dikenakan di antara RM1,000 hingga RM2,000 bagi setiap pemohonan. Sindiket ini telah beroperasi selama setahun,” kata Zakaria.
Kesemua warganegara asing ditahan kerana disyaki telah melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 dan ditahan di Depot Imigresen Putrajaya untuk tindakan lanjut.
Kes ini juga akan disiasat oleh pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di Bawah 2 Seksyen UUK 20(1)(e) Pelesenan TRED, Perniagaan & Perindustrian (WPKL) 2016 dibawah kesalahan menjalankan aktiviti lain di premis perniagaannya selain daripada aktiviti perniagaan yang dinyatakan dalam lesennya.
Kes juga disiasat di bawah Sek.79(1) Akta Parit Dan Bangunan 1974 (membina struktur sekatan dalaman untuk dijadikan bilik / ruang pejabat tanpa kelulusan DBKL.
Seramai dua lelaki warganegara Malaysia diberikan notis untuk hadir ke pejabat bagi membantu siasatan. – MalaysiaGazette