RAWANG – Setiausaha Agung MCA, Datuk Chong Sin Woon berkata, partinya telah dilukai berulang kali sehingga perlu memikirkan hala tuju sendiri.
Beliau berkata, MCA sudah memberi masa dua tahun, tetapi BN masih tidak menetapkan hala tuju yang jelas, satu keadaan yang mendorong MCA mempertimbangkan jalan yang ada di depan.
Katanya, mesyuarat bahagian MCA yang diadakan pada Jun diharapkan dapat membincangkan perkara itu sebelum memanjangkan pendapat kepada MCA negeri dan kemudian pusat.
“Diharapkan semasa mesyuarat agung pada akhir tahun nanti, perwakilan pusat akan mendengar lebih banyak pendapat mengenai hala tuju parti dan rakan kerjasama,” katanya seperti yang dipetik oleh Sinchew Daily.
Sin Woon berkata, MCA tidak bertanding dalam pilihan raya enam negeri sebelum ini dan juga tidak menyertai pilihan raya kecil Kuala Kubu Bharu, walaupun merupakan kerusi tradisinya.
Katanya, akar umbi MCA Selangor berasa kecewa kerana tidak diberikan peluang untuk bertanding di kerusi Kuala Kubu Bharu.
Menurutnya, akar umbi akan kehilangan motivasi untuk berusaha dan berkhidmat jika tidak diberikan peluang untuk bertanding.
Sin Woon berkata, dengan pilihan raya beberapa negeri yang akan berlangsung, malah pilihan raya umum juga bakal mengambil tempat, MCA tidak boleh hanya menunggu-nunggu.
“MCA pusat harus mempunyai satu hala tuju yang jelas,” katanya.
Katanya lagi, terdapat pemimpin MCA yang memasuki Bersatu baru-baru ini kerana menerima tawaran untuk bertanding dalam pilihan raya dan trend tersebut tidak boleh dipandang remeh.
“Keadaan ini berlaku kerana ahli parti tidak dapat melihat hala tuju kami pada pilihan raya umum seterusnya.
“Ini termasuk tidak tahu rakan kerjasama kami, sama ada meneruskan model Kerajaan Perpaduan atau MCA akan bertarung bersendirian,” katanya.