KUALA LUMPU – MCA mempersoalkan sama ada tindakan Peguam Negara, Datuk Mohd. Dusuki Mokhtar merayu keputusan majoriti Mahkamah Rayuan melibatkan Datuk Seri Najib Tun Razak mencabar Titah Adendum boleh dianggap sebagai biadab dan menderhaka.
Ketua Pemuda MCA Pahang, Wong Siew Mun berkata, ini kerana pada 4 Januari lalu Istana Pahang telah mengeluarkan surat rasmi yang mengesahkan Yang di-Pertuan Agong ke-16 telah menitahkan supaya Najib menjalani baki hukuman penjara melalui tahanan rumah
Titah itu dikeluarkan Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menerusi titah adendum bertarikh 29 Januari 2024.
“Surat tersebut ditujukan kepada anak Najib, Datuk Mohd Nizar, dan ditandatangani oleh Pengelola Bijaya Diraja Sultan Pahang, Datuk Ahmad Khirrizal Abdul Rahman.
“Namun, mengapa titah tersebut tidak dilaksanakan? Adakah wujud tangan ghaib yang sengaja mahu melengah-lengahkan masa, dengan menafikan keadilan dan hak Najib sebagai warganegara yang dijamin dalam Perlembagaan Persekutuan?
“Adakah tindakan AG ini boleh dianggap biadap dan menderhaka titah?” soal Siew Mun dalam satu perkongsian di media sosial.
Menurutnya, isu Titah Adendum ini seharusnya diselesaikan secara telus, tambahan ia melibatkan Titah Diraja selain dapat menepis persepsi rakyat bahawa sistem kehakiman negara ini tidak adil dan dipengaruhi oleh tangan-tangan politik.
Mohd. Duski semalam mendapat kebenaran Mahkamah Persekutuan untuk merayu keputusan majoriti Mahkamah Rayuan melibatkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mencabar Titah Adendum.
Keputusan itu dibuat panel tiga hakim yang diketuai oleh Hakim Besar Malaya, Datuk Seri Hasnah Mohammed Hashim yang membenarkan beliau mengemukakan tujuh persoalan undang-undang untuk dihujahkan dalam pendengaran rayuan kelak.
Mahkamah berpuas hati persoalan undang-undang yang dikemukakan dengan menyentuh isu kepentingan awam yang belum pernah didengar dan diputuskan oleh mahkamah tertinggi negara.
Pada 6 Januari lalu, panel tiga hakim Mahkamah Rayuan membenarkan bekas Perdana Menteri itu untuk mencabar kewujudan Titah Adendum bagi membolehkan beliau menghabiskan baki hukuman penjara enam tahun dalam tahanan rumah. – MalaysiaGazette