KOTA KINABALU – Penganjuran program Journey of Hope: A Walk for Homeless (WALK4HOPE) oleh sekumpulan pelajar Universiti Malaysia Sabah (UMS) baru-baru ini menjadi medium bukan sahaja untuk memperkasa semangat kesukarelawan, tetapi turut menyemai
sikap prihatin khususnya terhadap golongan gelandangan.
Pengarah program tersebut, Josua Jastin berkata, program yang dikendalikan oleh Kelab Member Prihatin di bawah Exco Hal Ehwal Wanita dan Kemasyarakatan (HELWA), Jawatankuasa Kebajikan Mahasiswa (JAKMAS) Kolej Kediaman Tun Fuad (KKTF) bertujuan untuk mengembangkan sikap prihatin terhadap komuniti dan golongan gelandangan dalam kalangan siswa, sekali gus menjadikan mereka lebih bersedia untuk memainkan peranan sebagai warga yang bertanggungjawab.
“Selain itu, usaha ini juga adalah bagi menerapkan dalam diri pelajar universiti mengenai konsep kesukarelawan melalui aktiviti kemasyarakatan.
“Di samping itu, program ini juga menyokong kesejahteraan siswa-siswi dengan mempromosikan aktiviti fizikal seperti berjalan kaki, yang dapat meningkatkan kesihatan fizikal dan mental,” katanya.
Josua memaklumkan, program tersebut yang berlangsung di Padang Kawan UMS melibatkan penyertaan 10 orang wakil daripada Desa Bina Diri berserta enam orang penghuni, serta 88 orang warga UMS sebagai peserta walkathon.
“Harapan saya agar program yang dianjurkan ini dapat memupuk semangat kebersamaan dan gaya hidup sihat dalam kalangan masyarakat,” katanya.
Dalam pada itu, Pengetua KKTF, Dr. Abdul Hair Beddu Asis ketika berucap merasmikan program tersebut berkata, usaha tersebut bukan sahaja mampu memberi manfaat kepada golongan sasaran, tetapi juga berupaya mengeratkan lagi hubungan antara warga universiti dan komuniti setempat dalam aktiviti berbentuk kesihatan.
“Dengan adanya program ini dapatlah menjamin jalinan hubungan sosial di antara warga luar UMS, warga UMS dan residen Kolej Kediaman Tun Fuad (KKTF) secara tidak langsung, yang pada akhirnya dapat membina sebuah institusi yang berkesan dan menyeluruh kepada semua tahap,” ujar beliau. – MalaysiaGazette