KUANTAN – Seramai 1,600 pesilat termasuk pesilat kanak-kanak berusia 10 tahun dan 10 pasukan pesilat dari luar negara dijangka berentap dalam Kejohanan Silat Cekak Harimau Kebangsaan dan Antarabangsa ke-5, Piala Datuk Seri Shahaniza 2025.
Kejohanan anjuran Pertubuhan Silat Cekak Harimau Malaysia dan Persatuan Silat Negeri Pahang (Pesaka Pahang) dijadualkan berlangsung di Balora Mastika Bandar Jengka, Maran bermula esok sehingga Ahad ini.
Menurut Pengerusi Pengelola, Pendekar Datuk Osman Nok, penganjuran program adalah bersempena ulang tahun ke-44 Pertubuhan Silat Cekak Harimau Malaysia selain bertujuan mencari dan melahirkan bakat-bakat baru dalam dunia persilatan.
Beliau berkata, terdapat 90 pasukan pesilat tempatan dan tujuh pasukan daripada luar negara iaitu Indonesia, Singapura, Thailand, Australia, Vietnam, Laos dan Belanda akan menyertai kejohanan terbabit.
“Antara kategori yang bakal dipertandingkan meliputi Tanding Institusi Pengajian Tinggi (IPT) dan Jemputan Antarabangsa bagi pesilat berumur 17 tahun hingga 35 tahun, Tanding Sukma bagi ketegori pesilat berumur 16 tahun hingga 20 tahun dan Tanding Remaja bagi kategori pesilat berumur 13 tahun hingga 15 tahun.
“Kategori Tanding tunas pula bagi pesilat berumur 10 tahun hingga 12 tahun, Seni Sukma bagi pesilat berusia 16 tahun hingga 20 tahun, manakala kategori Solo Kreatif, Tunggal, Ganda dan Regu pula terbuka bagi peringkat umur,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Osman memaklumkan terdapat 362 pingat dipertaruhkan bagi keseluruhan kategori yang dipertandingkan.
Tambahnya, selain Piala Johan Keseluruhan, empat piala masing-masing turut dipertaruhkan bagi kategori utama iaitu Pesilat Terbaik bagi setiap kategori dan Johan Kategori. – MalaysiaGazette