Tertuduh, Tan Geok Soo, 62, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, Melaka, hari ini atas pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun yang juga anak jirannya minggu lalu.

MELAKA – Seorang lelaki warga emas mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh di sini, hari ini atas pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun yang juga anak jirannya minggu lalu.

Tertuduh yang berusia  62 tahun itu membuat pengakuan tersebut sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah dalam bahasa mandarin di hadapan Hakim Elesabet Paya Wan.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa dengan sengaja melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun dengan cara memeluk dan mencium pipi mangsa bagi tujuan seksual.

Kesalahan itu dilakukan di tempat pembuangan sampah Pangsapuri Puteri Kesidang dalam daerah Melaka Tengah kira-kira pukul 7 pagi 21 April 2025.

Sabit kesalahan tertuduh boleh dipenjara maksimum 20 tahun dan boleh juga dihukum sebatan mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Nazrin Ali Rahim mencadangkan jaminan sebanyak RM15,000 beserta syarat tambahan tertuduh dilarang mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan kerana tinggal di kawasan perumahan sama.

Peguam S. Suresh yang mewakili tertuduh bagaiamanpun merayu jaminan rendah dengan alasan anak guamnya sudah tua.

Tertuduh juga hujahnya mengalami masalah pendengaran telinga kanan serta penyakit kencing manis kronik.

Selepas mendengar hujahan kedua-dua pihak, mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 oleh ahli keluarga terdekat dan membenarkan syarat tambahan dipohon pendakwaan.

Kes akan disebut semula 19 Jun ini.

MalaysiaGazette pada 24 April lalu melaporkan seorang warga emas direman tujuh hari oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh kerana disyaki mencabul seorang kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun yang juga anak jirannya.

Menurut sumber, kejadian berlaku kira-kira jam 7 pagi 21 April lalu ketika mangsa, kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun keluar seorang diri untuk membuang sampah di rumah sampah pangsapuri berkenaan.

Ketika mangsa sedang menaiki tangga untuk pulang ke rumahnya, dia terserempak dengan warga emas terbabit yang tinggal di tingkat dua sebelum lelaki itu mengajak mangsa menemaninya ke rumah sampah pangsapuri berkenaan.

Apabila tiba di situ, lelaki berkenaan tiba-tiba mencium pipi, memeluk dan menyelak baju mangsa sebelum mengajaknya untuk makan bersama namun kanak-kanak itu menolak pelawaan warga emas terbabit.

Mangsa yang terkejut kemudian berlari ke pondok pengawal keselamatan pangsapuri untuk menceritakan kejadian itu kepada petugas di situ.

Hasil siasatan polis mendapati terdapat rakaman sistem kamera litar tertutup (CCTV) di tempat kejadian. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here