KUALA LUMPUR – Seorang penganggur yang mengaku bersalah membunuh ibu dan bapanya dalam kejadian tragis di Kampung Sungai Penchala, dua tahun lalu, tidak menghidap penyakit mental serta boleh menghadapi pendakwaan di Mahkamah Tinggi.
Laporan perubatan psikiatri forensik yang dikeluarkan terhadap Afendi Muhammad Agus, 44, mengesahkan lelaki itu berada dalam keadaan mental yang waras ketika kejadian seperti yang dinyatakan dalam pertuduhan.
Laporan bertarikh 7 Februari lalu dikeluarkan oleh Pakar Psikiatri (Forensik), Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak, Dr. Allan Sia Ting Chan dan dikemukakan oleh pihak pendakwaan di hadapan Hakim K. Muniandy hari ini.
Afendi dirujuk ke hospital berkenaan pada 28 November 2024 mengikut Seksyen 342(3) Kanun Prosedur Jenayah (CPC) dan menjalani pemerhatian rapi kejururawatan selama 24 jam untuk tempoh tersebut.
“Semasa kejadian yang didakwa dilakukannya, Afendi berada dalam keadaan mental yang waras dan sedar akan sifat dan akibat pengakuannya serta mampu mengetahui tindakan itu salah di sisi undang-undang.
“Keadaan mentalnya stabil pada tarikh laporan ditulis. Dia layak dihadapkan ke mahkamah untuk dibicarakan serta mampu membela diri,” demikian menurut laporan itu.
Laporan tersebut juga menyatakan, Afendi tidak mengalami gejala-gejala halusinasi, delusi atau kemurungan mahupun intoksikasi dadah manakala fungsi kognitifnya adalah normal ketika kejadian yang didakwa berlaku.
Ketika menjalani pemerhatian di hospital berkenaan, Afendi memberikan kerjasama baik sewaktu ditemubual manakala percakapannya relevan dengan soalan yang dikemukakan.
“Tertuduh juga tidak pernah menunjukkan kelakuan agresif atau kecenderungan untuk membunuh diri serta memberikan kerjasama baik kepada kakitangan wad selain boleh melakukan aktiviti harian dan penjagaan diri secara berdikari,” menurut laporan tersebut.
Sementara itu, peguam Mohd. Ruzaini Zulkifli mewakili Afendi mengesahkan menerima laporan mental itu dan memaklumkan kepada mahkamah agar pengakuan bersalah anak guamnya diteruskan.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Izalina Abdullah memaklumkan, fakta kes sudah lengkap namun pihak pendakwaan belum bersedia untuk mengemukakan barang kes ke mahkamah.
Sehubungan itu, Hakim Muniandy menetapkan 20 Mei ini untuk pembentangan fakta kes dan menjatuhkan hukuman terhadapnya.
Pada 27 November 2024, Hakim Muniandy memerintahkan Afendi menjalani pemeriksaan mental di Hospital Bahagia Ulu Kinta bagi memastikan pengakuan bersalah yang dibuat pada 6 September tahun lalu dilakukan dalam keadaan waras serta sukarela.
Afendi didakwa membunuh Muhammad Agus@Muhamed Ali Omar, 82, dan Darlisma Njatu Saleh, 72, di sebuah rumah di Kampung Sungai Penchala, Brickfields di sini, pada 7.10 malam dan 7.20 malam, 9 Disember 2023.
Pertuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang berdepan hukuman mati atau penjara tidak kurang 30 tahun dan tidak lebih 40 tahun serta sebat tidak kurang 12 kali, jika tidak dikenakan hukuman mati.
Sebelum ini, media melaporkan mayat suami isteri warga emas ditemukan di ruang tamu kediaman mereka dengan beberapa kesan tikaman pada tubuh selepas berlaku pergaduhan antara lelaki berkenaan dengan ibu bapanya. – MalaysiaGazette