KUALA LUMPUR – Dua wanita tempatan yang disyaki terlibat dalam kes samun melibatkan kabel pengecas telefon bernilai RM14 di sebuah kedai serbaneka di Manjung, Perak direman enam hari.
Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Hasbullah Abd Rahman berkata, kedua-dua suspek ditangkap pada jam 2.45 petang kelmarin susulan laporan polis yang dibuat oleh mangsa pada jam 10 pagi Ahad lalu.
Menurut beliau, kejadian berlaku apabila dua wanita itu memasuki kedai berkenaan dan meminta pekerja membuka kotak kabel pengecas telefon tanpa membuat sebarang bayaran.
“Apabila pekerja menerangkan prosedur pembelian, salah seorang suspek bertindak agresif dengan menampar pipi kiri mangsa serta menarik tudungnya sebelum melarikan diri bersama kabel pengecas telefon tersebut,” katanya dalam kenyataan.
Mangsa mengalami kecederaan di bahagian pipi kiri dan trauma akibat insiden itu.
Kes disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun berkumpulan.
Terdahulu, rakaman kamera litar tertutup (CCTV) kejadian tersebut tular di media sosial, memaparkan salah seorang suspek mengasari pekerja kedai dengan menampar dan menarik tudungnya sehingga rambut mangsa terdedah. – MalaysiaGazette