KOTA TINGGI – Pihak bertanggungjawab didesak menutup tapak pelupusan sampah Batu Ampat berhampiran Kampung Desa Makmur, di sini, yang menimbulkan pencemaran bau sehingga mengganggu urusan harian penduduk berdekatan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Panti, Hahasrin Hashim mendakwa, keadaan kini bertambah buruk apabila pihak terbabit tidak mengurus tapak pelupusan sampah berkenaan dengan baik dan sistematik.
“Ini berlaku selepas pertukaran syarikat pengurusan tapak baru-baru ini, apabila kawalan pencemaran semakin longgar dan aduan daripada penduduk meningkat.
“Bau busuk yang dahulunya terhad di kawasan sekitar kini merebak hingga ke Kampung Lukut dan beberapa kampung tradisional lain,” katanya ditemui semasa melawat tapak pelupusan sampah tersebut, hari ini.
Katanya, kewujudan tapak pelupusan sampah itu juga bukan sahaja melibatkan pengurusan sisa pepejal tetapi menyebabkan jalan rosak akibat lori sampah yang berulang alik.
Beliau diberitahu Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara (JPSPN) bahawa tapak pelupusan sampah itu hanya akan menerima sisa pepejal dari daerah ini mulai Julai depan.
Sampah dari daerah lain katanya, akan dihantar ke tapak pelupusan sampah lain.
Bagaimanapun beliau tidak bersetuju dengan raancangan itu dan tetap mahu tapak pelupusan tersebut perlu ditutup sepenuhnya.
“Ini kerana ia merupakan tapak pelupusan sementara yang tidak sesuai untuk jangka panjang dan terlalu hampir dengan kawasan kediaman.
“Akta 672 juga tidak menangani secara spesifik isu pencemaran bau kronik, menjadikan pemantauan sukar dilaksanakan dengan berkesan,” tegasnya.
Sementara itu, Hahasrin mencadangkan beberapa langkah bagi menangani isu tersebut, termasuk penutupan berjadual tapak, semakan semula Akta 672, pemantauan ketat terhadap operator baharu serta penubuhan Jawatankuasa Pemantauan Komuniti yang melibatkan penduduk setempat dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
“Saya akan terus komited memperjuangkan hak rakyat untuk hidup dalam persekitaran yang bersih, selesa dan bermaruah. Ini bukan isu teknikal semata-mata, tetapi soal kesejahteraan rakyat di Dewan Undangan Negeri (DUN) Panti,” ujarnya.
Dakwanya, sejak menjadi wakil rakyat di DUN itu pada 2018, isu tersebut telah dibawa ke pelbagai peringkat termasuk JPSPN dan Mesyuarat Jawatankuasa Tindakan Daerah Kota Tinggi, Mesyuarat Tindakan DUN Panti.
“Ini termasuk juga dibangkitkan dalam sidang DUN Johor,” ujarnya. – MalaysiaGazette