KUALA LUMPUR – MCA perlu mempertimbangkan untuk menentukan haluannya sendiri sekiranya Barisan Nasional (BN) terus gagal memberi kejelasan berhubung kedudukan dan kewujudan parti itu dalam gabungan tersebut.
Ketua Pemuda MCA Kelantan, Chan Rui Yih berkata, ia bukan satu ancaman, tetapi satu seruan kepada semua di dalam BN supaya kita bermuhasabah, menyesuaikan diri dan membina semula kekuatan gabungan tersebut.
Menurut beliau, kesatuan tidak bermaksud berdiam diri dan kesetiaan tidak seharusnya menuntut keacuhan.
“Selepas lebih dua tahun pasca PRU-15, persoalan yang timbul di kalangan ahli kami adalah `Ke manakah hala tuju BN?
“Apakah peranan sebenar MCA dalam kerajaan perpaduan ini?
“Apakah mesej yang ingin kita sampaikan kepada rakyat?” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Menurut Rui Yih, MCA sentiasa percaya kepada model pelbagai kaum yang dibawa oleh BN dan kekal komited terhadap semangat kerjasama dan perpaduan yang suatu ketika dahulu menjadikan BN sebuah gabungan yang kuat serta efektif.
Namun, jelasnya, komitmen sebegitu memerlukan hala tuju yang jelas, strategi bersama dan rasa tanggungjawab kolektif.
Dalam masa sama, tambah beliau, MCA mengakui UMNO sedang melalui cabaran tersendiri ketika ini.
Namun, ujar beliau, MCA juga mengalami keadaan tersisih di peringkat negeri dan Pusat, terutama hampir tiada penglibatan dalam proses membuat keputusan BN bahkan kerajaan.
“Kebimbangan ini bukan sekadar berkisar kepada kedudukan politik, tetapi mencerminkan kegusaran terhadap soal keberkesanan, hubungan dengan komuniti, dan keperluan untuk bergerak ke hadapan secara berstrategi.
“Kita harus ingat, sebuah gabungan pelbagai kaum seperti BN hanya akan kekal kuat jika ia mampu mendengar, berubah dan memimpin bersama,” katanya.
Sebelum ini, Setiausaha Agung MCA, Datuk Chong Sin Woon dilaporkan turut meluahkan kekecewaan yang semakin dirasai oleh ramai ahli MCA dan penyokong akar umbi berikutan ketidaktentuan hala tuju politik dalam kerjasama Kerajaan Perpaduan antara BN dan Pakatan Harapan (PH) ketika ini. – MalaysiaGazette