MELAKA – Seorang pelajar perempuan maut manakala rakannya parah selepas motosikal yang dinaiki dipercayai melanggar lampu isyarat merah sebelum merempuh sebuah lori di persimpangan Jalan Pantai Belimbing, Krubong, di sini, petang semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 3.30 petang itu, mangsa berusia 16 tahun disahkan meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di Hospital Melaka kira-kira jam 11 malam tadi akibat kecederaan parah di kepala dan badan.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, kemalangan berlaku apabila motosikal jenis Yamaha Nouvo S yang ditunggangi seorang lagi pelajar berusia 16 tahun dipercayai telah melanggar lampu isyarat merah sebelum merempuh bahagian hadapan kanan sebuah lori.
“Siasatan awal mendapati lori berkenaan yang dipandu lelaki berusia 46 tahun meneruskan perjalanan dari arah Krubong Perdana menuju ke Krubong ketika lampu isyarat hijau.
“Secara tiba-tiba, motosikal dinaiki dua pelajar itu dari arah Sekolah Menengah Kebangsaan Krubong menuju ke Taman Krubong Permai dipercayai terus melintas melanggar lampu isyarat dan merempuh bahagian kanan lori terbabit,” katanya kepada pemberita hari ini.
Menurut beliau, akibatnya, penunggang mengalami kecederaan di kepala dan luka di tangan serta kaki manakala rakannya patah tangan kiri, patah kaki kanan dan mengalami pendarahan di kepala dan paru-paru sebelum disahkan meninggal dunia di hospital malam tadi.
“Kenderaan terlibat telah dibawa ke Puspakom untuk pemeriksaan lanjut dan tiada tangkapan dilakukan (terhadap pemandu lori).
“Kes disiasat di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu dengan cuai sehingga menyebabkan kemalangan,” katanya.
Semalam, tular beberapa klip video kejadian berkenaan meminta orang ramai mencari pemandu lori berkenaan yang dikatakan melarikan diri selepas nahas. – MalaysiaGazette