BUTTERWORTH – Seorang pemandu lori didenda RM8,000 selepas mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini atas pertuduhan menawarkan suapan kepada anggota polis berpangkat koperal, empat tahun lalu.
Hakim Zulhazmi Abdullah memerintahkan Tang Chin Haur, 45, dipenjara tiga bulan jika gagal membayar denda.
Mengikut pertuduhan, tertuduh menawarkan suapan wang tunai berjumlah RM3,900 kepada Koperal Mohd Aliyudin Abdul Aziz sebagai dorongan tidak diambil tindakan undang-undang kerana melakukan kesalahan dibawah Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952 iaitu kerana memiliki cecair disyaki air ketum.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu di khemah sekatan jalan raya di Jalan Sungai Bakau, Nibong Tebal, dekat sini, pada 27 Jun 2021.

Bagi kesalahan itu beliau didakwa mengikut Seksyen 214 Kanun Keseksaan yang boleh dijatuhi hukuman penjara maksimum 10 tahun atau didenda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Noor Azura Zulkifli manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Bagaimanapun, Chin Haur dalam rayuannya memohon mahkamah menjatuhkan hukuman ringan atas alasan menanggung ibu bapanya, isteri serta seorang anak yang masih bersekolah.
Tertuduh membayar denda berkenaan. – MalaysiaGazette