KUALA LUMPUR – Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Tenggara menahan 31 individu selepas dipercayai terlibat dalam kegiatan pemprosesan kayu secara haram di beberapa kilang kayu sekitar Kelantan.
Komander Briged Tenggara PGA, Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, serbuan pada jam 10.45 pagi, Isnin lalu dijalankan di lapan lokasi berbeza melibatkan empat daerah iaitu Pasir Mas, Tanah Merah, Tumpat dan Jeli.
“Dalam operasi itu, PGA dengan kerjasama Jabatan Perhutanan berjaya merampas sejumlah balak dan kayu yang diproses tanpa permit di kilang terbabit.
“Rampasan turut membabitkan mesin dan jentera memproses kayu, jentera berat, kenderaan serta pelbagai peralatan lain yang kesemuanya dianggarkan bernilai RM31.21 juta,” katanya.
Kesemua tangkapan terdiri daripada 20 warga tempatan dan 11 warga asing berbangsa Myanmar serta rampasan telah diserahkan kepada Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) serta Jabatan Perhutanan Negeri untuk tindakan lanjut.
Kes disiasat di bawah Seksyen 93(2) Akta Perhutanan Negara 1983 (Akta 313), Seksyen 3(2) Enakmen Industri Berasaskan Kayu 1985 serta Seksyen 6(1) dan Seksyen 55(B) Akta Imigresen 1959/63. -MalaysiaGazette