Nancy Shukri

KUALA LUMPUR – Semua pihak diseru untuk berani bersuara menentang perlakuan gangguan seksual demi mempertahankan maruah dan keselamatan masyarakat.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, remaja khususnya tidak boleh berdiam diri dengan perlakuan itu dan berhak bertindak demi keselamatan dan maruah diri.

Pada masa sama, ujar beliau, pihaknya komited untuk memperkasa keadilan melalui pelaksanaan penuh tribunal di bawah Akta Gangguan Seksual.

“Saya juga mengajak semua – wanita, lelaki, ibu bapa, pendidik dan rakan sekerja – untuk bersama-sama membina persekitaran yang lebih selamat dan bermaruah, dengan berani bersuara apabila berdepan atau menyaksikan sebarang bentuk gangguan seksual, khususnya dalam usaha melindungi kanak-kanak dan wanita,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sementara, Nancy memuji tindakan tegas bapa seorang mangsa seksual yang menggesa pelaku ke balai polis seperti dalam video yang tular di dalam media sosial.

Jelasnya, tindakan lelaki berkenaan mencerminkan peningkatan kesedaran masyarakat terhadap isu gangguan seksual yang tidak boleh dipandang ringan.

“Saya difahamkan bahawa kes ini kini berada di bawah siasatan pihak polis.

“Apabila berlaku kes gangguan seksual, masyarakat meletakkan sepenuh kepercayaan kepada pihak polis untuk bertindak dengan adil dan segera,” katanya.

Terdahulu, tular di media sosial video gangguan seksual melibatkan seorang pemandu e-hailing dan remaja perempuan berusia 15 tahun yang menunjukkan pemandu terbabit meminta mangsa membuka tudung semasa dalam perjalanan pulang ke rumah. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here