MELAKA – Polis Melaka telah menahan seorang suspek lelaki yang dipercayai terlibat dalam kes cubaan samun seorang suri rumah sehingga ia tular sejak semalam.
Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar bagaimanapun berkata, suspek lelaki berusia 43 tahun itu tidak melakukan cubaan rogol dan mengelar leher mangsa sebagai mana tular sehingga menimbulkan kegusaran dalam kalangan masyarakat.
“Siasatan polis mendapati, kandungan yang tular menerusi aplikasi Whatsapp mendakwa suspek terlibat dalam kes cubaan rogol, kelar leher mangsa wanita dan mencederakan anak berusia tiga tahun adalah tidak benar.
“Sebaliknya, kita hanya menerima laporan oleh seorang suri rumah berusia 26 tahun cuba disamun suspek sama yang tidak dikenali di kediamannnya di Taman Kasturi, Semabok, di sini, pada 24 April lalu.
“Bertindak hasil daripada laporan itu, sepasukan polis dari Cawangan Siasatan Khas (D9) Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah berjaya menahan suspek di sebuah rumah di Kampung Morten, Melaka jam 7 petang semalam,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Menurutnya, polis turut merampas sepersalinan pakaian yang dipakai suspek semasa kejadian dan semakan mendapati lelaki terbabit mempunyai empat rekod jenayah serta tiga kesalahan dadah lampau.
Tambah beliau, permohonan reman terhadap suspek akan dibuat di Mahkamah Majistret Ayer Keroh hari ini dan kes disiasat
mengikut Seksyen 393 Kanun Keseksaan kerana kesalahan cuba melakukan samun.
“Orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi dan menyebarkan berita atau maklumat tidak tepat sehingga boleh mengelirukan dan menimbulkan kegusaran dalam kalangan masyarakat,” tegasnya lagi. – MalaysiaGazette