Puan Ding (kanan) dan Yen Yen (kiri) menunjukkan gambar laporan polis dan bayi lelakinya

KUANTAN – Seorang wanita mahu siasatan menyeluruh dijalankan pihak berkuasa susulan insiden bayi lelakinya berusia 13 bulan dipercayai terjerut kain buaian di rumah pengasuh , di sini, pada 15 April lalu.

Ibu kepada tiga anak yang hanya mahu dikenali sebagai Puan Ding, 37, berkata, siasatan itu perlu dilakukan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian serta kemungkinan wujud kecuaian oleh pengasuh.

Pada hari kejadian, Puan Ding berkata, dia menerima panggilan daripada pengasuh berusia lingkungan 50-an memaklumkan anaknya telah dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Kuantan.

“Saya terkejut apabila diberitahu anak saya tidak sedarkan diri dan wajahnya kebiruan dipercayai akibat lehernya terjerut dengan kain buaian.

“Dia dimasukkan ke Unit Kecemasan sebelum dipindahkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) dan dirawat selama lapan hari,”katanya pada sidang media di Pejabat Senator Fuziah Salleh, di sini, petang semalam.

Hadir sama, Pegawai Khas Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Koh Yee Yen.

Tambahnya, pengasuh itu memaklumkan anaknya diletakkan dalam buaian di tingkat atas kerana sukar tidur di katil, sementara dia menguruskan hal-hal lain di tingkat bawah.

“Pengasuh maklumkan anak saya ditinggalkan bersendirian. Suami pengasuh yang naik ke atas kemudiannya mendapati anak saya dalam keadaan tidak sedarkan diri,” katanya.

Menurut Puan Ding, anaknya disahkan mengalami hipoksia otak dan kini masih menerima rawatan serta pemantauan berterusan di hospital.

Jelasnya, suaminya telah membuat laporan polis berhubung kejadian itu, namun menarik balik laporan tersebut atas sebab tertentu sehingga siasatan ditangguhkan.

Bagaimanapun, dia membuat laporan baharu pada 25 April baru-baru ini bagi membolehkan siasatan dijalankan semula.

“Saya harap ada keadilan untuk anak saya. Saya juga kecewa kerana selepas laporan pertama ditarik balik, pihak pengasuh langsung tidak menunjukkan sebarang keprihatinan,” katanya.

Sementara itu, Yee Yen berkata, tindakan Puan Ding bukan bertujuan menuding jari tetapi demi mendapatkan keadilan sewajarnya.

“Jika terbukti wujud kecuaian, biarlah tindakan sewajarnya diambil agar kejadian seumpama ini tidak berulang,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu mengesahkan pihaknya telah membuka kertas siasatan berhubung kejadian tersebut.

Katanya, siasatan awal mendapati mangsa dijaga oleh pengasuh berkenaan sejak berusia tiga bulan dan hanya diambil pulang oleh ibu bapanya setiap hari Sabtu.

“Pada mulanya, bapa mangsa enggan meneruskan tindakan kerana menganggap kejadian sebagai kemalangan.

“Namun, isterinya kemudian tampil membuat laporan polis untuk menuntut siasatan lanjut serta pampasan dan kos rawatan bagi anak mereka,” ujarnya.

Tambah Wan Mohd Zahari, pihak polis telah merakam percakapan ibu mangsa dan doktor yang merawat mangsa serta melawat mangsa di HTAA.

“Kes ini disiasat di bawah Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here