MELAKA – Seorang penternak di Bukit Kechil, Pernu di sini terkejut apabila ternakannya itu melahirkan anak kambing berkepala dua semalam.
Abu Shah Hashim, 57, yang lebih mesra disapa Pak Abu berkata, ia adalah kejadian pertama berlaku sejak 20 tahun mengusahakan ternakan ruminan itu.

“Memang terkejut sebab sebelum ini kambing betina baka Black Belly berusia dua tahun lebih ini melahirkan dua ekor anak tetapi semalam cuma seekor sahaja dan ia berkepala dua.
“Inilah kali pertama berlaku sepanjang 20 tahun saya menternak kambing walaupun anak kambing berkepala kembar itu lahir dalam keadaan lemah,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

Penternak kambing di Bukit Kechil, Pernu, Melaka terkejut apabila ternakannya itu melahirkan kambing berkepala dua semalam.
Abu Shah menganggap kejadian luar biasa itu yang disedarinya awal pagi semalam adalah bukti kekuasaan Allah.
“Semuanya adalah tanda kebesaran Allah dan saya harap anak kambing ini terus sihat dan panjang umur,” tambahnya lagi. – MalaysiaGazette