ISKANDAR PUTERI – Seorang kanak-kanak lelaki berusia lima tahun meninggal dunia akibat lemas selepas hampir lima jam terperangkap dalam van sekolah di Taman Bukit Indah di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner M Kumarasan berkata, mangsa ditemui tidak sedarkan diri di dalam van sekolah kira-kira pukul 12 tengah hari.
“Mangsa yang bersekolah di sebuah tadika di Taman Bukit Indah di sini dikatakan menaiki van dari kediaman keluarga sebelum sampai di hadapan tadika pukul 7.30 pagi hari.
“Mangsa dipercayai tertinggal selepas pemandu van menurunkan kanak-kanak lain di hadapan tadika pada pukul 7.30 pagi.
“Mangsa bagaimanapun ditemui tidak sedarkan diri kira-kira pukul 12 tengah hari,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Kumarasan berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini untuk bedah siasat.
Jelasnya, susulan kejadian itu, polis menahan pemandu van berusia 56 tahun kira-kira pukul 2.40 petang di kawasan Taman Bukit Indah.
Katanya, semakan rekod ke atas lelaki warga tempatan mendapati suspek tidak memiliki rekod jenayah lampau serta negatif penyalahgunaan dadah.
“Suspek direman selama tujuh hari bermula semalam bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 iaitu kesalahan pengabaian dengan bertindak secara cuai ke atas kanak-kanak,” ujarnya.- MalaysiaGazette