MELAKA – Seorang murid perempuan tahun dua cedera parah di dahi manakala kakaknya luka di badan selepas terlibat dalam kemalangan langgar lari berhampiran Sekolah Kebangsaan (SK) Demang Hussin, Bukit Katil semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 1.30 petang itu, mangsa, Nur Qasyifa Hazlina Mohd. Hayider, 8, mengalami kecederaan di muka, mata sehingga mengakibatkan dahinya berlubang.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, kejadian turut mengakibatkan kakaknya, Nur Qarinah Hazirah,17, luka kecil di kaki serta tangan.
“Mengikut laporan dibuat mangsa, nahas berlaku selepas dia mengambil adiknya pulang dari sekolah di SK Demang Hussin dengan menunggang motosikal jenis Yamaha Ego Solaris.
“Ketika dalam perjalanan menuju ke arah Duyong selepas melepasi sekolah terbabit motosikal ditunggang mereka telah dilanggar dari belakang oleh sebuah kenderaan tidak dapat dikenal pasti,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambah Christopher, pelanggaran mengakibatkan, dua beradik itu terjatuh menyebabkan kecederaan sebelum dikejarkan ke Hospital Melaka untuk mendapatkan rawatan lanjut.
“Laporan nahas dibuat oleh mangsa pada pukul 12.32 tengah hari tadi dan pihak polis sedang memburu pemandu yang terlibat dalam kejadian tersebut,” katanya.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian untuk tampil membantu siasatan di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sejak semalam, tular gambar kecederaan dialami mangsa kanak-kanak yang meminta orang ramai membantu mengesan pemandu kereta yang dipercayai melarikan diri selepas nahas berkenaan. – MalaysiaGazette