Adam menghulurkan duit raya kepada kanak-kanak yang hadir pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Terlajak Raya Hang Tuah Jaya di Melaka, malam tadi.

MELAKA – Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) perlu membina sebuah ekosistem baharu yang menekankan soal penajaan, menjana pendapatan sekal gus menjadi kerangka untuk menjamin survival kelab atau pasukan bola sepak yang bersaing dalam saingan Liga Malaysia (Liga M).

Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abdul Halim berkata, FAM tidak boleh bersikap lepas tangan berhubung kemelut kewangan beberapa pasukan dan kelab sehingga ada yang ingin menarik diri sekali gus menjejaskan saingan Liga Super musim 2025/2026.

Tegas beliau, permasalahan yang dihadapi itu juga tidak seharusnya mengheret campur tangan kerajaan Persekutuan khususnya Kementerian Belia dan Sukan mahu pun kerajaan negeri untuk membantu mereka.

“Setiap pihak termasuk FAM sendiri perlu cari jalan keluar kepada permasalahan dan soal kemampanan pasukan itu sendiri supaya mereka dapat bergerak dengan kerangka yang lebih baik.

“Isu (masalah kewangan) ini akan terus berlaku sampai bila-bila kalau kita tak kembali kepada soal macam mana nak selesaikan isu pokok soal penajaan, menjana pendapatan dan membina ekosistem yang boleh menjamin survival mereka.

“Ekosistem ini melibatkan industri sukan itu sendiri, merchandise (produk dagangan), fans (penyokong) dan sebagainya,”
katanya kepada pemberita pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Terlajak Raya Hang Tuah Jaya di sini malam tadi.

Adam Adli

Mengulas lanjut, Adam yang juga Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya berkata, keputusan Jawatankuasa First Instance Body (FIB) memberikan lanjutan masa bagi kelab melengkapkan dokumentasi pelesenan kelab sehingga 10 Mei ini juga memberi peluang sesuai untuk kelab memikirkan jalan keluar.

“Rugilah terutama sekali bagi peminat dan penyokong bola sepak negeri yang ingin melihat ada wakil daripada negeri masing-masing ataupun kelab mereka beraksi.

“Mereka pasti sekali nak lihat kelayakan kelab tersebut (beraksi di Liga Super musim 2025/2026) tapi tiba-tiba tak dapat nak sertai,” katanya.

Tambahnya, setiap pengendali kelab dan persatuan bola sepak perlu mempunyai rasa kebertangungjawaban yang lebih tinggi untuk sama-sama menyelesaikan kemelut kewangan dan tunggakan gaji.

MalaysiaGazette pada 26 April lalu melaporkan juara Piala Malaysia lapan kali, Perak FC secara rasminya mengumumkan penarikan diri dari saingan Liga Super musim depan kerana berdepan isu kewangan.

Pengerusi Perak FC, Datuk Seri Azim Zabidi dilaporkan berkata, pihaknya sudah melakukan yang termampu untuk membangunkan skuad The Bos Gaurus (TBG) termasuk membelanjakan hampir RM40 juta.

Isnin lalu, Naib juara Piala Malaysia musim 2024/25, Sri Pahang FC pula seolah-olah memberi bayangan akan mengikut jejak langkah Perak FC.

Sebelum ini, terdapat dakwaan bahawa pasukan dari Pantai Timur itu tidak akan menyertai saingan Liga Super musim depan kerana isu kewangan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here